if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Sultan Pahang: Hentikan pencerobohan atau berdepan hukuman berat

Sultan Pahang: Hentikan pencerobohan atau berdepan hukuman berat

by Nurulhuda

RAUB, 8 Mei – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar tindakan penguatkuasaan terhadap penerokaan tanah secara haram dapat diteruskan dan dipertingkatkan.

Baginda menzahirkan rasa terkejut dan dukacita apabila kawasan seluas 26,000 ekar di Pahang telah diceroboh oleh peneroka haram sehingga menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan serta rakyat negeri itu.

Titah baginda, melihat kepada angka tersebut sudah tiba masanya aktiviti pencerobohan tanah secara haram di negeri ini seharusnya dinoktahkan serta diselesaikan secara baik.

“Kita seharusnya mempunyai satu sistem yang boleh mengurus tadbir hal tanah ini dengan sebaik mungkin,

“Tidak adil pada rakyat, kerajaan dan sebagainya. Tindakan pencerobohan ini sangat besar. Namun, tindakan seterusnya perlu dibuat dan saya harap semua pihak memberi kerjasama dengan kerajaan negeri,

“Kita tidak boleh membiarkan amalan aktiviti pencerobohan haram ini diteruskan. Ia harus dinoktahkan dan diselesaikan dengan baik,” titah Baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli meninjau kawasan penerokaan haram durian Musang King yang terletak di Hutan Simpan Sungai Klau, pada Khamis.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Baginda turut menegaskan bahawa pencerobohan mesti dihentikan dan kemungkinan hukuman lebih berat akan dikenakan kepada peneroka haram sekiranya kegiatan itu berterusan.

“Tidak boleh secara mengejut dan sekali gus itu mungkin susah sikitlah. Sekurangnya ada haluan ke situ… untuk dinoktahkan… ada hala tuju. Kalau tidak ada hala tuju, pencerobohan ini akan berterusan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa negeri Pahang mempunyai undang-undang yang harus dihormati dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pelaku yang melanggarinya.

“Pencerobohan mesti dihentikan dan kalau tidak, tindakan-tindakan sewajarnya akan diambil dan mungkin hukuman yang lebih berat akan ditimpa kepada peneroka-peneroka haram ini,

“Saya nak mengingatkan kepada mereka, kita ada undang-undang di negeri Pahang ini,” tegas Paduka Baginda lagi.-airtimes.my

#semasa #Pahang #pencerobohan #tanah #durian #airtimes

Related Articles

Leave a Reply