Tidak ramai yang mengetahui bahawa tokoh yang dikenang sebagai “Bapa Pembangunan Negara”, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah menjalankan tugas sulit sebagai perisik semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Kisah ini bukan sekadar cebisan sejarah, ia adalah naratif tentang keberanian, kepintaran, dan semangat patriotik seorang anak watan yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi tanah air tercinta.
Jika Vladimir Putin di Russia pernah berkhidmat sebagai ejen perisik KGB sebelum menjadi Presiden, Malaysia juga mempunyai sejarah yang hampir serupa. Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua negara, sebenarnya pernah menjadi perisik bagi Askar Wataniah semasa Perang Dunia Kedua.
Perjuangan dalam Perisikan
Ketika itu, Tun Abdul Razak sedang melanjutkan pelajaran di Kolej Stamford Raffles, Singapura. Namun, situasi perang memaksanya pulang ke kampung halaman di Kuantan, Pahang. Beliau kemudiannya menyertai Perkhidmatan Awam Malaya yang dikuasai Jepun bukan atas dasar setia, tetapi demi satu misi sulit yang lebih besar.
Pada tahun-tahun getir di bawah pendudukan Jepun, tertubuhnya Askar Wataniah Pahang di bawah pimpinan Yeop Mahidin menjadi benteng pertahanan rakyat. Tun Abdul Razak telah direkrut secara rahsia sebagai ejen risikan bagi pasukan ini.
Dengan berpura-pura setia kepada pentadbiran Jepun, beliau berkhidmat sebagai Pembantu Pegawai Daerah. Dalam diam, beliau menyalurkan maklumat penting seperti kedudukan logistik dan gerakan tentera musuh kepada Askar Wataniah.
Bimbingan Yeop Mahidin bukan sekadar melatih Tun dalam bidang peperangan, malah mengasah kepakarannya dalam selok-belok risikan satu seni peperangan yang sunyi tetapi sangat berbahaya.
Tanpa teknologi moden seperti hari ini, semua maklumat perlu dihantar secara manual dan berdepan risiko ditangkap, diseksa atau dihukum mati. Jepun ketika itu amat sensitif terhadap kebocoran maklumat, dan sesiapa yang disyaki mudah sahaja “hilang” tanpa berita.
Walaupun hanya beberapa individu dalam Wataniah mengetahui identiti sebenar beliau, Tun Abdul Razak terus melaksanakan tugasnya dengan penuh dedikasi. Malangnya, kerahsiaan ini juga menyebabkan ramai pihak, termasuk anggota Wataniah sendiri, menyangka beliau adalah talibarut Jepun.
Ketika pihak Jepun mula menyedari maklumat mereka sering bocor, kecurigaan terhadap Tun Abdul Razak mula meningkat. Ancaman terhadap nyawanya menjadi semakin nyata.
Lalu, Yeop Mahidin merancang satu operasi penyelamatan berpura-pura. Mereka melaksanakan penculikan palsu kononnya Tun Abdul Razak dibunuh. Hakikatnya, beliau diselamatkan dan dibawa ke lokasi selamat di luar pengawasan Jepun.
Selepas itu, barulah ramai menyedari bahawa Tun Abdul Razak bukan pengkhianat, sebaliknya ejen risikan yang telah menyelamatkan banyak nyawa rakyat melalui maklumat yang disampaikannya.
Dari Wira Senyap ke Pemimpin Negara
Peristiwa-peristiwa ini bukan sahaja mengukir nama Tun Abdul Razak dalam sejarah pertahanan negara, malah membentuk keperibadian dan falsafah kepimpinannya.
Sebagai Perdana Menteri, beliau memperkenalkan dasar-dasar pembangunan luar bandar dan ekonomi yang berpaksikan kepada realiti masyarakat, hasil dari kefahaman mendalam terhadap struktur negara semasa zaman penjajahan.
Pengalaman sebagai perisik mengajar beliau tentang pentingnya keselamatan, strategi, dan kepimpinan berasaskan maklumat yang tepat.
Tun Abdul Razak selama ini dikenang sebagai tokoh yang memajukan negara, namun sejarah awal beliau sebagai perisik menunjukkan sisi lain perjuangan yang jarang ditonjolkan.
Semangat juang, kebijaksanaan menyamar, dan kesanggupan berkorban dalam diam menjadikan beliau bukan sahaja seorang negarawan, malah seorang wira yang berjuang tanpa nama.
“Bapa Pembangunan” adalah satu gelaran yang wajar, tetapi sejarah juga menuntut satu lagi pengiktirafan, Tun Abdul Razak wajar dikenang sebagai “Bapa Perisik Malaysia”.-airtimes.my
#AirTimesNews #TunAbdulRazak #PerisikTanahAir #AskarWataniah #WW2Malaysia #YeopMahidin #RisikanNegara #SejarahPertahanan