if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Kolumnis: Tanggungjawab kerajaan jadikan TLDM armada perkasa

Kolumnis: Tanggungjawab kerajaan jadikan TLDM armada perkasa

by Zaki Salleh

Kita wujud kerana armada.

Slogan yang menjadi pegangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ini mempunyai pengertian yang mendalam.

Bukan sebaris kata-kata keramat, sebaliknya ia menggambarkan aspirasi yang ingin diinspirasikan kepada warga tentera laut serta institusi besarnya, TLDM.

Slogan tersebut untuk menjadikan TLDM sebuah angkatan laut yang kredibel dan versatil dalam memelihara kepentingan maritim negara.

Armada merupakan perkataan khusus untuk tentera laut yang berasal dari perkataan Sepanyol yang mula disebut pada abad ke-16. Sepanyol pada masa antara kuasa laut dunia.

Armada tentera laut atau dalam bahasa Inggeris ‘fleet’ adalah sebuah formasi besar kapal-kapal perang dan formasi terbesar dalam mana-mana tentera laut.

Sehubungan itu dalam konteks TLDM hari ini, apakah bentuk armada yang kita perlukan agar angkatan laut negara terus menggalas tanggungjawab sebagai benteng pertahanan maritim?

Sebuah armada mengandungi pelbagai jenis kapal dengan fungsi yang berbeza tetapi matlamat sama iaitu untuk pertahanan dan berperang.

Sebuah lancang sekali pun tetapi jika mengibarkan bendera armada TLDM masih perlu berperanan sebagai sebuah kapal perang.

Berdepan dengan cabaran di perairan Selat Melaka dan Laut China Selatan, TLDM perlu mempunyai kekuatan yang seimbang agar dapat melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Armada TLDM mestilah kuat, dapat menggerunkan musuh atau bakal musuh dengan peranannya sebagai aset cegah rintang.

Adanya aset yang kuat menyebabkan musuh berfikir banyak kali untuk mendekati batas perairan negara khususnya di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).

Dalam merencanakan pemodenan TLDM, ketika ini kita boleh menarik sedikit kelegaan berikutan pembinaan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2 sedang berjalan.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain menekan butang menandakan permulaan peletakan lunas kapal LMSB2 di limbungan Istanbul Shipyard, Turkiye, pada 9 Aprtil lalu. Foto: TLDM

Peletakan lunas kapal ini disempurnakan 8 April lalu di Istanbul Shipyard, Turkiye menandakan fasa penting pembinaan kapal.

Kapal pertama LMS Batch 2 dijangka siap pertengahan 2026 sebelum diserahkan kepada TLDM pada penghujung 2027 diikuti dua kapal berikutnya secara berperingkat-peringkat.

Tiga buah LMS Batch 2 dibina mengikut rekaan korvet kelas Ada oleh syarikat Turkiye, Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) ini menepati keperluan TLDM untuk melaksanakan pelbagai tugas.

TLDM memerlukan kapal-kapal LMS Batch 2 bagi memperkasakan rondaan dan pengawasan di perairan Laut China Selatan.

Seterusnya, TLDM meletakkan sasaran untuk melaksanakan program LMS Batch 3 dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026-2030) membabitkan tiga buah kapal lagi.

Mohamed Khaled (dua kiri) bersama Presiden Secretariat of Defence Industries (SSB), Prof. Dr. Haluk Görgün (kanan) menunjukkan replika LMS Batch 2 selepas majlis penyerahan LOA di Ibu Pejabat SSB, Ankara pada 11 Jun 2024. Foto: FB DS Khaled Nordin

Bermakna, dua buah lagi baki kapal kemungkinan akan dimasukkan dalam belanjawan selepas itu. Walaupun proses ini memakan masa panjang tetapi setidak-tidaknya kerajaan telah meletakkan sasaran.

Mengikut perancangan, TLDM memerlukan lapan buah kapal LMS baharu ini dengan rekaan menyamai kapal bersaiz korvet.

Bagi program Kapal Tempur Pesisir (LCS) buat masa ini tiada isu hendak dibangkitkan melainkan menantikan siapnya kapal pertama, KD Maharaja Lela pada tahun hadapan.

Manakala pelancaran pembinaan LCS 2 dan LCS 3 masing-masing akan dilaksanakan pada Jun 2025 dan Januari 2026.

LCS yang sepatutnya menggantikan kapal lama mengalami kelewatan besar apabila projek ini bermula sejak 2011, tapi hingga 2025 belum satu pun kapal disiapkan sepenuhnya.

Pernah menjadi bahan politik, bagaimana pun isu LCS reda walaupun punca sebenar kelewatan serta kegagalan menyiapkan kapal mengikut jadual masih disebut-sebut.

Kegagalan projek LCS juga telah memberi persepsi negatif terhadap kemampuan industri pertahanan maritim tempatan apabila mempunyai keupayaan yang terhad.

Selain aset-aset besar, kesiapsiagaan TLDM juga ditambah dengan perolehan kecil seperti bot pemintas FIC bagi penugasan rondaan.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima empat buah lagi Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 MKII Fasa Kedua di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu di Teluk Sepanggar. baru-baru ini.

Sehingga kini sebanyak 14 daripada 19 buah yang dipesan kerajaan telah diterima TLDM.

Satu lagi kemajuan ketara kepada TLDM tetapi sangat jarang disentuh ialah penubuhan Skuadron 601 di perairan Malaysia Timur.

Ini merupakan Skuadron Pesawat Tanpa Pemandu pertama dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggunakan UAS Scan Eagle.

UAS ScanEagle adalah pesawat buatan syarikat Boeing-Insitu dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Malaysia melalui program Maritime Security Initiative yang mula diterima oleh TLDM pada 6 Mei 2020.

Pada fasa awal  enam pesawat, dua pelancar, dua skyhook dan tiga ground control station bernilai RM180 juta diterima.

Kesemuanya sebanyak 18 buah Scan Eagle dioperasikan skuadron tersebut.

Dalam usaha kerajaan membina TLDM dengan armada yang ideal, isu semasa yang masih membelenggu ialah kesiapsiagaan dan logistik.

Banyak kapal dan aset TLDM menghadapi masalah penyelenggaraan yang mana kapal-kapal berusia lebih 30 hingga 40 tahun masih terpaksa dikekalkan.

Usia kapal ini menyebabkan masalah reliabiliti dan kecekapan.

Sebagai sebuah armada, TLDM perlu berdepan cabaran bukan sahaja perbatasan maritim tetapi juga isu-isu semasa termasuk pengurusan.

Maka, menjadi tanggungjawab kerajaan sedia ada dan kerajaan akan datang memastikan TLDM wujud sebagai armada yang perkasa. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply