Home Pertahanan dan Keselamatan Kontrak pembelian 3 LMS dimeterai Malaysia – Turkiye

Kontrak pembelian 3 LMS dimeterai Malaysia – Turkiye

by Nurulhuda

ANKARA, 11 Jun – Malaysia telah menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian 3 kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS) kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojieri Muhendiskil (STM) dalam usaha memantapkan aspek pertahanan negara.

Penyerahan LOA tersebut disempurnakan antara Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan (MINDEF), Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz, di ibu pejabat STM, semalam.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersama Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof Haluk Gorgun.

Menteri Pertahanan berkata, projek dibawah syarikat pertahanan Turkiye, itu akan mengambil masa kira-kira 3 tahun setengah untuk disiapkan.

“STM telah menyatakan komitmen untuk 3 LMS tersebut disiapkan dalam tempoh yang telah ditetapkan, iaitu dalam tempoh 3 tahun 6 bulan,

“Semoga hubungan istimewa antara kedua negara dalam konteks pertahanan ini dapat terus diperkukuh dan membolehkan industri pertahanan negara dibangunkan, mengambil contoh langkah yang diambil oleh Türkiye sekitar 40 tahun yang lalu,” jelasnya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, perancangan Kertas Putih Pertahanan menggariskan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu mempunyai 18 LMS bagi mengawal perairan sempadan negara yang terdiri 4 perairan iaitu Laut Cina Selatan, Laut Sulawesi, Laut Selat Melaka dan Laut Sulu.

“Dengan perolehan 3 LMS batch kedua ini, diharap dapat membantu kita mencapai 18 kapal diperlukan TLDM. Jadi, pendekatan menyerahkan LOA kepada Turkiye ini bergantung kepada keupayaan mereka untuk siapkan dalam masa ditetapkan, kalau tidak dapat disiapkan akan menjejaskan segala perancangan,” katanya seperti di lapor Bernama.

LMS batch kedua dilaporkan berbeza dengan siri sebelumnya di mana ia akan dilengkapi dengan misil pertahanan udara dan misil anti permukaan.

Ketiga-tiga LMS ini juga dijangka dilengkapi sepenuhnya dengan sistem persenjataan termasuk peluru berpandu buatan Turkiye.

Terdahulu, Mohamed Khaled memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara 2 kerajaan berhubung perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan Turkiye-Malaysia.

Katanya, pemeteraian MoU ini amat bermanfaat kepada kedua-dua buah negara, terutamanya kepada Malaysia.

“Ia kerana memperlihatkan reputasi Türkiye sebagai ‘powerhouse’ yang mempunyai kekuatan dalam bidang pembuatan teknologi pertahanan dan berjaya memposisi industri pertahanannya sebagai salah satu yang ternama di dunia,” ujarnya lagi.

Bagi membuktikan komitmen dalam melaksanakan MoU ini, beliau berkata, kedua-dua buah negara bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi merancang inisiatif strategik dan memantau kemajuan pelaksanaan MoU ini.

Mohamed Khaled dalam rangka lawatan rasmi ke Turkiye selama 5 hari sejak Ahad.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #TLDM #LMS #Malaysia #Turkiye

Related Articles

Leave a Reply