Home Semasa Penyasaran subsidi: Bukan untuk naikkan elaun menteri – Anwar Ibrahim

Penyasaran subsidi: Bukan untuk naikkan elaun menteri – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, penyasaran semula subsidi diesel bukan untuk menaikkan elaun menteri, tetapi menampung kos pengangkutan awam serta sumbangan tunai rahmah (STR) yang kini sudah mencecah RM10 bilion.

Beliau berkata sumbangan tunai itu kini memanfaatkan 9 juta penerima termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) yang dinaikkan dari RM600 kepada RM1,200 setahun.

“Wang itu bukan untuk naikkan elaun menteri atau kepentingan lain… kita kena faham pertama penyelarasan subsidi itu untuk pastikan subsidi tidak diberikan kepada golongan maha kaya atau warga asing,

“(Penjimatan subsidi) diesel sebahagiannya adalah untuk menampung keperluan pengangkutan awam, pengangkutan rakyat… sebahagian lagi untuk tambah suntikan tunai rahmah yang kini dan mencecah RM10 bilion,” katanya berucap pada majlis himpunan bulanan Kementerian Kewangan, di Putrajaya hari ini.

Pada Ahad, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan subsidi bersasar untuk diesel di semua stesen runcit di Semenanjung bermula semalam.

Menurutnya, harga diesel di stesen minyak di Semenanjung Malaysia diapungkan dan mengikut harga pasaran pada masa ini adalah RM3.35 seliter adalah sebagai langkah pembaharuan utama di bawah rangka kerja Ekonomi Madani.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, penyasaran subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksana kerajaan bagi menstruktur semula penyaluran subsidi, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan apungan harga ayam dan telur RM1.2 bilion.
Beliau turut mengakui ‘dimaki hamun berbakul-bakul’ oleh rakyat kerana melaksanakan langkah tidak popular itu, namun menegaskan ianya perlu untuk memperbetulkan sistem lapuk oleh pemerintah terdahulu.

“Subsidi kita tertinggi di Asia, tiada siapa nak ambil tindakan (sebelum ini) sebab ia tak popular… cakap macam mana pun, anda nak tahu popular ke tak anda pergi ke Sungai Bakap, saya kena maki berbakul-bakul,

“Saya pun dah lewat 70-an, apa saya nak buat? Saya nak buat terbaik untuk negara… saya nak buktikan tidak semua orang politik itu kaki sakau dan angkuh dan mendera rakyat,

“Saya ada mandat dan saya akan lakukannya, bila masa saya kena pergi, saya pergi tetapi sementara saya di sini, saya akan buat apa yang terbaik untuk pastikan imej Malaysia sebagai negara terbaik di Asia,” katanya lagi. -airtimes.my

#semasa #DSAI #Malaysia #subsidi #airtimes

Related Articles

Leave a Reply