KUALA LUMPUR, 27 April – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terus memperkukuhkan kesiapsiagaan apabila Latihan Pengukuhan Komponen Pasukan MAS-01 OSCAR 1 dan 2 (BRAVO) telah diadakan dari 14 hingga 25 April lalu di Markas SMART, Pulau Meranti.
Seramai 70 anggota pasukan MAS-01 yang memainkan peranan penting dalam elemen-elemen International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG) telah berjaya menyertai latihan ini.
Menurut SMART, latihan tersebut menjadi medan untuk mengukuhkan teknik penyelamatan dalam operasi runtuhan bangunan menggunakan peralatan penyelamat secara efisien, selaras dengan standard dan tatacara INSARAG.
“Selain aspek teknikal, latihan ini turut memantapkan kerjasama dan koordinasi antara anggota dalam menghadapi senario simulasi bagi menghadapi INSARAG External Reclassification (IER), iaitu proses penting dalam menilai tahap keupayaan pasukan penyelamat mengikut piawaian antarabangsa,” jelas pihak SMART dalam kenyataan, hari ini.
SMART, yang ditubuhkan pada tahun 1995, terus menjadi barisan hadapan negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta bantuan kemanusiaan, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Ditubuhkan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), SMART diwujudkan dengan keanggotaan daripada tiga badan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Antara misi antarabangsa yang pernah disertai termasuk operasi di Myanmar, Turkiye pada 1999 dan 2023, serta beberapa negara lain, membuktikan kecekapan dan komitmen berterusan pasukan ini dalam bantuan kemanusiaan global.
Pengukuhan berterusan seperti latihan MAS-01 ini memastikan SMART kekal sebagai pasukan penyelamat bertaraf dunia, bersedia menghadapi apa jua cabaran bencana di dalam dan luar negara.-airtimes.my
#airtimes #SMART #Malaysia #pasukanmenyelamat