KUALA LUMPUR, 27 April – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-91 kepada seluruh warga TLDM, para veteran serta mereka yang pernah menabur bakti dalam pasukan berkenaan.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Seri Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa, bakti dan pengorbanan yang dicurahkan oleh seluruh warga serta veteran TLDM dalam melindungi kedaulatan dan keselamatan negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah Seri Paduka Baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Seri Paduka Baginda turut mendoakan TLDM terus menjadi sebuah angkatan yang disegani di pentas antarabangsa.
Sambutan Hari TLDM ke-91 yang bertemakan ‘TLDM Perkasa, Kedaulatan Terpelihara’ diadakan di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, hari ini.
Sebelum ini, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Dr Zulhelmy Ithnain memaklumkan sambutan itu diadakan secara sederhana sebagai menghormati tragedi membabitkan dua helikopter milik TLDM bertembung ketika raptai persembahan mengakibatkan 10 warganya maut pada tahun lepas. -airtimes.my
#TLDM #airtimes #Malaysia #pertahanan