SUBANG, 29 MAC – Ketika umat Islam di Malaysia bersiap menyambut Hari Raya Aidilfitri, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) telah diatur gerak ke Myanmar bagi menjalankan misi menyelamat susulan tragedi gempa bumi kuat yang melanda wilayah Mandalay dan Naypyidaw pada 28 Mac lalu.
Misi bantuan ini telah diaktifkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selepas insiden gempa bumi bermagnitud 7.7 dan gempa susulan 6.4 skala Richter yang mengakibatkan kerosakan besar serta runtuhan bangunan. Myanmar mengisytiharkan darurat berikutan bencana ini yang turut mengorbankan banyak nyawa.
“Satu gabungan pasukan merangkumi Tim Medik dari Kor Kesihatan Diraja (KKD) di bawah komponen MYTEAM Relief dianggotai dua Pegawai Perubatan dan dua anggota perubatan telah digerakkan bersama-sama Pasukan Special Malaysian Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan tersebut,
“Ia menjadikan keseluruhan anggota ATM yang terlibat adalah seramai 16 orang (12 dengan pasukan SMART). 34 orang lagi anggota SMART yang menyertai misi berkenaan terdiri dari 13 orang anggota PDRM dan 21 anggota JBPM menjadikan jumlah keseluruhan seramai 50 anggota diaturgerak bagi penugasan ini,” kata Angkatan Tentera Malaysia di akaun media sosial rasminya.
Tambahnya, misi yang melibatkan 2 buah pesawat A400M itu turut membawa bersama peralatan Base of Operations (BoO), peralatan mencari dan menyelamat, komunikasi, teknikal, perubatan, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah trak.
“Misi tersebut dijalankan dalam dua fasa utama selama 7 hingga 14 hari. Fasa pertama adalah usaha mencari dan menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap dalam runtuhan bangunan,
“Fasa kedua pula melibatkan penyediaan bantuan logistik seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian kepada mangsa yang terselamat,” jelasnya.
Anggota pasukan dan kesemua peralatan misi telah diatur gerak dari Pangkalan Udara Subang menggunakan dua pesawat Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #SMART #ATM #NADMA #PDRM #Bomba