Home Pertahanan dan Keselamatan LCS alami kelewatan 86 hari, reka bentuk terperinci masih lagi isu utama

LCS alami kelewatan 86 hari, reka bentuk terperinci masih lagi isu utama

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 29 FEB – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini mendedahkan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia mengalami kelewatan 86 hari.

Perkara tersebut didedahkan oleh PAC dalam laporan yang dibentangkan ke Parlimen.

Kelewatan LCS disahkan semasa prosiding yang dijalankan pada 24 Januari lalu.

“Berdasarkan perancangan yang ditetapkan kemajuan kerja bagi projek LCS pada Disember 2023 adalah 66.78 peratus secara keseluruhan,

“Walau bagaimanapun, berdasarkan verifikasi yang telah dilaksanakan oleh pasukan projek, kerja-kerja di limbungan hanya mencapai 67.28 peratus,

“Ini menunjukkan terdapat varian sebanyak 1.49 peratus atau kelewatan sebanyak 86 hari,” kata laporan itu.

Menurutnya, perkara tersebut telah dijelaskan oleh pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF), TLDM, dan Boustead Naval Shipyard (BNS) semasa prosiding pada 24 Januari 2024.

Pihak PAC menyatakan kelewatan selama 86 hari merupakan perkara serius dan tindakan segera wajar diambil bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut garis masa yang ditetapkan.

Dalam pada itu, pihak PAC turut menyatakan isu reka bentuk terperinci (detailed design) masih lagi menjadi isu utama dalam projek ini.

Pihak MINDEF/TLDM/BNS dalam prosiding pada akhir Januari lalu menyatakan 94.76 peratus reka bentuk terperinci telah disiapkan oleh pihak limbungan.

“Manakala detailed design yang telah disahkan oleh pihak Naval Group di Perancis pada tahap 85 peratus,

“PAC berpandangan isu kelewatan detailed design terus menjadi masalah utama dalam pembinaan LCS,

“Ia seharusnya diatasi dengan segera oleh pihak TLDM/BNS,

“Pasukan projek LCS perlu memberikan perhatian khusus kepada perkara ini,” kata laporan itu.

Tambahnya, Perjanjian Tambahan ke-6 (SA-6) yang dimeterai semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2023 menetapkan reka bentuk terperinci akan siap sebelum Ogos 2024.

Dalam pada itu, laporan PAC turut menyatakan terdapat reka bentuk terperinci yang perlu diperbaiki.

“Dalam prosiding Tindakan Susulan pada 24 Januari 2024, MINDEF/TLDM/BNS memaklumkan bahawa walaupun detailed design belum disiapkan dan disahkan sepenuhnya, kerja-kerja pembinaan kapal yang sedang dilaksanakan adalah sah,

“Pasukan projek juga sedang bekerjasama dengan pihak Berkuasa Melulus (Approving Authority) iaitu wakil daripada Naval Group Perancis di Lumut,

“Selain, daripada itu sekiranya terdapat reka bentuk yang perlu diperbaiki maka potential rework telah dianggarkan di antara 15% hingga 20%,

“PAC telah melahirkan kebimbangan mengenai potential rework yang dianggarkan di antara 15% hingga 20% oleh TLDM/BNS kerana boleh mendedahkan projek kepada risiko kelewatan dan peningkatan kos,” jelas PAC.

Tambahannya, tiada sebarang penambahan kos projek dilaporkan setakat ini. – airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #LCS

Related Articles

Leave a Reply