LUMUT, 21 Feb – Projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ships,LCS) berjalan lancar dengan LCS 1 dijadualkan untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Ogos 2026.
Kapal-kapal seterusnya akan diserahkan secara berperingkat setiap lapan bulan, dengan LCS 5 dijangka siap pada April 2029. Langkah ini menandakan perkembangan signifikan dalam memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin Ludin bersama ahli Jawatankuasa Laksamana TLDM telah mengadakan lawatan kerja ke limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) bagi meninjau kemajuan projek ini pada Khamis
Lawatan tersebut turut disertai oleh Ketua Pengarah Projek LCS TLDM, Laksamana Pertama Ir. Ts. Franklin Jayasekhar Joseph; Ketua Pegawai Operasi LUNAS Lumut, Komander Jal Shazidi Bassari TLDM (Bersara), Ketua Pegawai Operasi LUNAS Lumut serta Kepten Rosnizam Che Puteh TLDM (Bersara), Pengarah Projek LCS LUNAS.
Menurut TLDM, dalam sesi lawatan itu, Laksamana Madya Datuk Ts. Shamsuddin dan delegasi telah diberi taklimat terperinci mengenai perkembangan pembinaan LCS 1 dan kapal-kapal lain, selain melawat fasiliti Shore Integration Facility (SIF) yang kini beroperasi.
“Lawatan kerja ini membuktikan bahawa Pengurusan Tertinggi TLDM sentiasa melaksanakan pemantauan terhadap perkembangan fasa pembinaan LCS agar mengikut piawaian kualiti tertinggi mengikut spesifikasi dan dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” jelas TLDM dalam hantaran di laman Facebook rasminya.
Dalam hantaran yang sama, LUNAS memaklumkan, dalam setiap fasa pembinaan sehingga ke hari ini membuktikan komitmen dan kerjasama jitu sebagai rakan strategik yang erat di dalam menyokong keperluan operasi TLDM.
Projek LCS ini bermula pada tahun 2011 dengan perancangan untuk membina 6 buah kapal bagi memperkukuh armada TLDM.
Namun, projek ini mengalami kelewatan yang ketara dan terhenti selama beberapa tahun akibat masalah kewangan dan pengurusan. Sehingga kini, usaha pemulihan sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kapal pertama dapat diserahkan mengikut jadual yang telah ditetapkan.-airtimes.my
#pertahanan #LCS #TLDM #airtimes #kapal #Malaysia