Ketika negara sibuk mempertahankan sempadan dari ancaman luar, muncul satu bentuk ancaman yang lebih licik dan sukar dikesan serta mampu menyelinap dari dalam yang dikenali sebagai “Fifth Column” atau dalam bahasa mudahnya, “musuh dalam selimut”.
Istilah “Fifth Column”, mungkin kedengaran seperti sisa sejarah dari era perang dunia, tetapi hakikatnya konsep ini masih relevan malah semakin membimbangkan dalam dunia moden ketika ini.
Istilah fifth column bukanlah perkara baru, ianya muncul sekitar era Perang Saudara Sepanyol pada tahun 1930-an, apabila seorang berpangkat Jeneral menyebut bahawa dia bukan saja mempunyai empat kolum tentera menyerang dari luar kota, tetapi juga satu kolum kelima iaitu kumpulan penyokong yang menyelinap dari dalam.
Hingga ke hari ini, konsep it”fifth column” masih lagi kekal hidup dan relevan. Bezanya, mereka tidak lagi memakai uniform atau mengangkat senjata tetapi mereka bersembunyi di sebalik jawatan, sistem dan komuniti kita sendiri.
Golongan ini boleh jadi sesiapa saja yang kita tidak jangka, contohnya pegawai awam yang membocorkan maklumat sulit, petugas penguat kuasa yang memberi laluan kepada sindiket, malah pengguna media sosial yang sengaja menyebarkan kebencian dan keraguan terhadap institusi negara.
Apa yang mereka lakukan mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi kesan besar dan perlahan-lahan melemahkan pertahanan, kestabilan dan keyakinan rakyat.
Hari ini, ancaman fifth column jauh lebih kompleks dari yang kita fikirkan.Mereka kini boleh bergerak secara dalam talian, menyamar sebagai rakyat biasa di media sosial, menyebar fitnah, mencipta naratif jahat serta perlahan-perlahan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa.
Apa yang lebih merisaukan, fifth column ini tidak semestinya datang dari luar negara.
Ramai dalam kalangan mereka adalah rakyat tempatan, yang memahami budaya dan sistem negara dan lebih mudah untuk meresap masuk ke dalam institusi strategik.
Itulah sebabnya mereka sukar dikesan dan sering terlepas daripada radar.
Beberapa kes melibatkan pengkhianat seperti dilaporkan sama ada di luar atau dalam negara sudah cukup membuatkan kita berfikir semula.
Dunia pernah digemparkan dengan beberapa kes melibatkan pegawai yang membocorkan maklumat operasi, individu yang mensabotaj sistem keselamatan siber, serta ‘orang dalam’ yang menjadi tali barut untuk kumpulan ekstremis.
Semua ini bukan rekaan dan ia pernah berlaku atau mungkin masih berlaku tanpa kita sedari.
Salah satu taktik utama yang digunakan oleh fifth column adalah permainan psikologi.
Mereka tidak perlu sabotaj melalui fizikal, cukup sekadar mencipta ketidakpercayaan.
Bila rakyat mula ragu dengan integriti tentera, polis dan sistem kehakiman, maka runtuhlah benteng utama kita hingga menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kerajaan.
Bila perkara ini berlaku, kita sudah dianggap kalah walaupun belum sempat mengangkat senjata.
Lebih membimbangkan, taktik ancaman ini sudah berpindah ke alam digital.
Media sosial menjadi medan baru untuk perang persepsi, dengan hanya beberapa ciapan atau hantaran tular, mereka boleh menggoncang keyakinan orang ramai.
Dalam masa sama, kita dapat lihat beberapa serangan siber terhadap sistem kerajaan, kebocoran data, dan cubaan pencerobohan digital yang dipercayai dilakukan oleh ‘orang dalam’ atau orang luar.
Bagi Malaysia, kerajaan tidak berdiam diri dan pelbagai langkah telah diambil bagi membendung masalah ini terjadi antaranya pengukuhan keselamatan siber menerusi Dasar Keselamatan Siber Negara (DKSN), penubuhan MyCERT dan pemantauan dalaman menerusi agensi-agensi kritikal.
Prosedur keselamatan untuk kakitangan strategik juga diperketat termasuk tapisan latar belakang dan pemantauan tingkah laku digital.
Namun, semua usaha ini hanya berkesan sekiranya ada kerjasama serta mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat bagi melawan fitnah fifht column.
Selain itu, masyarakat perlu celik terhadap maklumat yang diterima, tidak mudah percaya pada provokasi, dan tidak menjadi penyambung lidah musuh tanpa sedar.
Apa yang penting untuk difahami ialah fifth column bukan hanya tentang pengkhianatan dalam bentuk tradisional.
Ia adalah ujian terhadap daya tahan negara dari sudut moral, sosial dan psikologi.
Cabaran sebenar masa kini ialah apabila pihak musuh tidak lagi perlu menyerang dari luar, tetapi mampu meruntuhkan kita dari dalam negara sendiri. -airtimes.my
#fifthcolumn #keselamatan #perisik #pengkhianat #nasional #Malaysia #airtimes