Konflik bersenjata bukan sahaja meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa, malah turut mencetuskan gelombang kesan domino terhadap kestabilan ekonomi global, terutamanya dalam sektor perdagangan dan keselamatan makanan.
Dalam dunia yang semakin bergantung antara satu sama lain, gangguan di satu wilayah boleh membawa kesan berpanjangan ke seluruh pelosok dunia.
Sebagai contoh, ketegangan geopolitik yang berlaku di Ukraine dan Gaza antara bukti nyata bagaimana kesan peperangan moden hari ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi tempatan, namun juga pasaran antarabangsa.
Mengulas lanjut, konflik di Ukraine sejak Februari 2022 menjadi titik tolak kepada krisis bekalan makanan global apabila Rusia melancarkan serangan berskala besar ke atas negara tersebut.
Ukraine, yang sebelum ini dikenali sebagai “bakul roti Eropah”, merupakan antara pengeksport utama bijirin seperti gandum dan jagung ke pasaran dunia, termasuklah beberapa negara ASEAN seperti Malaysia.
Sebelum tercetusnya peperangan, harga gandum global berada sekitar $250 (RM1,103) satu tan metrik pada awal 2021. Namun hanya beberapa bulan selepas konflik bermula, harga melonjak melebihi $450 (RM1,985) bagi satu tan metrik, iaitu peningkatan sekitar 80 peratus.
Kenaikan ini secara tidak langsung memberi tekanan besar kepada negara pengimport utama seperti Mesir, Turki dan beberapa negara ASEAN yang bergantung kepada gandum Ukraine.
Perkara ini tidak dapat dielakkan memandangkan pelabuhan penting Ukraine di Laut Hitam termasuk Odesa dan Mariupol telah menjadi sasaran serangan perang sehingga menjejaskan aktiviti mengeksport makanan.
Malah, walaupun terdapat perjanjian sementara melalui “Black Sea Grain Initiative”, iaitu sebuah laluan koridor selamat bagi kapal-kapal bijirin, ianya sering tergugat akibat ketegangan politik, pelanggaran gencatan senjata serta ancaman serangan balas.
Kapal dagang menghadapi risiko diserang atau tenggelam, serta banyak syarikat perkapalan enggan mengambil risiko untuk berlabuh di pelabuhan tersebut.
Akibatnya, penghantaran bijirin menjadi semakin sukar dan mahal, dan beberapa negara terpaksa mencari pembekal alternatif dengan harga lebih tinggi.
Sementara itu, ketegangan berterusan di Gaza sejak Oktober 2023 turut memberi kesan langsung terhadap laluan perdagangan antarabangsa, khususnya di kawasan perairan strategik seperti Laut Merah dan Terusan Suez.
Serangan balas antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin bukan sahaja meningkatkan risiko konflik rentas sempadan, malah membuka ruang kepada ketidaktentuan keselamatan maritim.
Akibatnya, beberapa syarikat perkapalan besar dunia terpaksa mengambil keputusan untuk mengubah laluan perdagangan mereka daripada melalui Terusan Suez kepada Tanjung Harapan yang lebih jauh di selatan benua Afrika.
Langkah ini sudah tentu menjejaskan kelancaran logistik global malah mendorong peningkatan kos barangan import di negara-negara membangun, memandangkan pedagang menanggung kos tambahan seperti penggunaan minyak yang lebih banyak daripada sebelumnya. -airtimes.my
#Dagang #konflik #Gandum #eksport #Ukraine #Gaza