if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Isu Jalur Gemilang: Latheefa sifatkan tindakan terhadap Sin Chew Daily keterlaluan

Isu Jalur Gemilang: Latheefa sifatkan tindakan terhadap Sin Chew Daily keterlaluan

by Zulhaizi Rosdi

KUALA LUMPUR, 19 APRIL – Bekas Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya menyifatkan reaksi berlebihan termasuk siasatan jenayahterhadap kesilapan paparan Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily sebagai keterlaluan dan tidak wajar.

Menurut Latheefa, kesilapan itu jelas tidak disengajakan dan tidak munasabah untuk sesiapa yang waras mempercayai bahawa sebuah akhbar melakukan kesilapan sedemikian.

“Mengapa perlu ada reaksi yang begitu hebat, termasuk siasatan jenayah, sedangkan jelas kepada sesiapa yang waras bahawa ia adalah satu kesilapan yang tidak disengajakan? Tiada sebab yang munasabah untuk sebuah akhbar utama sengaja mencetuskan sabotaj terhadap diri mereka.

“Dakwaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa insiden ini mengancam keselamatan dan ketenteraman awam juga adalah tindak balas yang berlebihan dan bersifat menakut-nakutkan,” katanya dalam satu hantaran di laman X.

Tambah beliau, adalah mengejutkan apabila ramai ahli politik turut serta mendesak agar hukuman maksimum dikenakan terhadap pihak yang terlibat, termasuk hukuman penjara.

“Di mana suara kewarasan? Adakah kita akan mendakwa dan memenjarakan orang atas kesilapan yang tidak disengajakan? Itu tidak adil dan bukan cara yang betul.

“Patriotisme tidak boleh diukur hanya melalui simbol luaran seperti bendera semata-mata, malah ia adalah sesuatu yang tidak ketara dan lahir dari dalam diri,” katanya.

Jelasnya lagi, pihak Sin Chew Daily telah pun memohon maaf secara terbuka, membetulkan kesilapan dan mengambil tindakan dalaman yang sewajarnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Mereka yang telah dibebaskan dengan jaminan polis ditahan bagi membantu siasatan susulan lebih 40 laporan diterima berhubung isu kesilapan Jalur Gemilang itu di seluruh negara.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

#JalurGemilang #Akhbar #SinChewDaily #KDN #PDRM #semasa #LatheefaKoya #airtimes

Related Articles

Leave a Reply