if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Sultan Ibrahim yakin Malaysia-China terus perkasa kerjasama dua hala

Sultan Ibrahim yakin Malaysia-China terus perkasa kerjasama dua hala

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 April – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia dan China akan terus memperkasa kerjasama strategik meskipun wujud pelbagai cabaran dan jurang geopolitik di peringkat global.

Bertitah semasa pertemuan bersama Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama (TYT) Xi Jinping di Istana Negara, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Malaysia komited kepada integrasi ekonomi mendalam, pengukuhan rantaian bekalan dan sektor perindustrian, serta peningkatan ketersambungan serantau yang berpaksikan prinsip hormat dan manfaat bersama.

“Saya percaya terdapat potensi besar untuk syarikat dan pelabur China meneroka peluang di Malaysia, khususnya selari dengan matlamat pembangunan berkualiti tinggi di bawah Inisiatif ‘Belt and Road’ oleh China,” titah Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka turut menekankan peranan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai pemangkin pertumbuhan pelaburan, khususnya menerusi Hab Kewangan Khas Forest City yang dilihat berpotensi menjadi antara lokasi pelaburan utama di rantau ini.

Dalam pertemuan itu juga, Seri Paduka Baginda menjemput Kerajaan China untuk memperluaskan pertukaran bahasa dan pendidikan antara kedua-dua negara, khususnya dalam usaha memperkukuh hubungan budaya dan kefahaman rakyat.

“Jumlah pertukaran pelajar antara negara kita telah meningkat dan kita berhasrat menghantar lebih ramai pelajar ke China bagi mendalami ilmu serta budaya setempat.

“Saya percaya bahasa adalah jambatan penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Oleh itu, saya juga berhasrat untuk terus mempromosikan Kursi Pengajian Melayu Sultan Ibrahim di Beijing Foreign Studies University,” titah Seri Paduka Baginda.

Lawatan negara oleh Presiden Xi Jinping ini merupakan manifestasi hubungan erat Malaysia-China yang menjangkau 50 tahun, dan pertemuan di Istana Negara memperkukuh lagi komitmen bersama ke arah masa depan yang lebih inklusif, stabil dan saling menguntungkan.

Terdahulu, Presiden Xi diberi sambutan negara di Istana Negara sempena Lawatan Negara selama tiga hari bermula semalam atas jemputan Sultan Ibrahim.

Lawatan kali ini menandakan kunjungan rasmi kedua Xi ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas kunjungan terakhir pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Lawatan oleh Xi adalah sebahagian daripada siri Lawatan Negara pertama Presiden China itu pada tahun ini yang turut merangkumi Vietnam dan Kemboja.-airtimes.my

#semasa #Malaysia #China #DaulatTuanku #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply