KUALA LUMPUR, 16 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius tindakan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit di muka depan akhbar bertarikh 15 April 2025.
Menurut kenyataan rasmi KDN, tindakan itu merupakan satu kecuaian serius yang bukan sahaja mencerminkan kegagalan profesionalisme dalam penerbitan, malah berpotensi mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak boleh dipandang ringan,
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN dalam kenyataan, pada Rabu.
Sehubungan itu, siasatan telah dimulakan serta-merta berpandukan dua perundangan utama, iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
KDN menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap mana-mana penerbit yang cuai dan tindakan tegas akan dipertimbangkan setelah siasatan diselesaikan sepenuhnya.
“Kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” tegas KDN lagi.
Jalur Gemilang, menurut kenyataan itu, bukan sekadar bendera tetapi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang mesti dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.
Mana-mana pelanggaran terhadap spesifikasi rasmi bendera boleh dikenakan tindakan undang-undang.-airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #JalurGemilang