KUALA LUMPUR, 16 April – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah mengingatkan bahawa bendera negara merupakan lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara yang tidak wajar dipermainkan atau dipersendakan.
Seri Paduka Baginda bertitah menegaskan, bendera bukan sekadar helaian kain bercorak dan berwarna-warni, sebaliknya ia membawa makna yang mendalam berkaitan perjuangan, sejarah, erti kemerdekaan serta semangat rakyat pelbagai kaum di negara ini.
“Kita sebagai rakyat mengibarkan bendera dengan rasa megah dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa,” titah Seri Paduka Baginda hari ini.
“Kesilapan memaparkan gambar Jalur Gemilang tanpa bulan sabit seperti disiarkan dalam muka hadapan di sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan boleh mencetuskan sensitiviti rakyat dan tidak boleh diterima,” titah Seri Paduka Baginda pada hari ini.
Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka dan menyemak sesuatu bahan siaran terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
“Perkara sebegini sepatutnya tidak berlaku dan semua pihak perlu mengambil iktibar agar kesilapan sama tidak berulang,” titah Baginda lagi.
Pada Selasa, atu laporan polis telah dibuat oleh seorang petugas media berhubung imej bendera Malaysia yang dipaparkan pada muka depan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan yang digambarkan secara tidak lengkap.
Paparan grafik tersebut menunjukkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit, salah satu elemen penting yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan.
Pengadu, Kamal Abas, 52, memberitahu dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Serai sebagai tanda prihatin atas kesilapan yang tidak sepatutnya dipaparkan pada bendera negara.
Bagaimanapun, akhbar Sin Chew Daily telah membuat permohonan maaf atas ‘kesilapan teknikal’ tersebut.
Sambil menzahirkan rasa kesal, mereka juga menyusun jari sepuluh memohon jutaan maaf kepada semua rakyat.-airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #JalurGemilang