if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Diskusi West Philippine Sea dalam Google Maps jadi simbolik ketegasan tuntutan Filipina di Laut China Selatan

West Philippine Sea dalam Google Maps jadi simbolik ketegasan tuntutan Filipina di Laut China Selatan

by Zulhaizi Rosdi

Di saat dunia digoncangkan dengan isu perang dagangan dan juga tarif di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, terdapat satu perkembangan geopolitik yang mungkin wajar diketengahkan. Pada April 2025, Google Maps telah secara rasmi label “West Philippine Sea” di kawasan barat Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Filipina di perairan Laut China Selatan.

Mungkin isu ini tampak tidak besar bagi kita, tetapi ianya dianggap sebagai kemenangan oleh warga Filipina.

Sekali imbas ia hanyalah satu nama di atas peta, tetapi dalam dunia geopolitik, setiap nama yang dipilih atau diabaikan boleh menjadi percikan kepada api konflik. Bagi sesetengah pihak, ini hanyalah kemas kini teknikal yang dianggap sebagai pengemaskinian biasa.

Namun bagi yang lain, ia adalah pengiktirafan simbolik antarabangsa terhadap kedaulatan dan cabaran besar kepada tuntutan sebuah kuasa besar.

Akan tetapi, tindakan ini telah memburukkan lagi ketegangan Filipina dengan China yang menganggap penamaan tersebut sebagai satu cabaran terhadap tuntutan mereka di Laut China Selatan.

Kehadiran label “West Philippine Sea” dalam platform global seperti Google Maps sekaligus memperkuatkan usaha Filipina untuk menegaskan haknya di peringkat antarabangsa.

Istilah “West Philippine Sea”, yang merujuk kepada bahagian barat ZEE Filipina dalam Laut China Selatan, bukan sekadar penjenamaan semula geografi, tetapi ia adalah manifestasi perjuangan kedaulatan sebuah negara kecil menentang pengaruh kuasa besar.

Penggunaan istilah ini bukanlah perkara baharu, ianya mula diperkenalkan secara rasmi oleh kerajaan Filipina pada tahun 2011 melalui Perintah Eksekutif No. 29 yang ditandatangani oleh Presiden Filipina ketika itu, Benigno Aquino III.

Tujuannya jelas menegaskan bahawa kawasan perairan yang terletak dalam ZEE Filipina, khususnya di sekitar Kepulauan Kalayaan (Kepulauan Spratlys) dan Scarborough Shoal, adalah hak milik sah mereka berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Istilah ini merujuk kepada bahagian Laut China Selatan yang berada dalam ZEE Filipina, sejauh 200 batu nautika dari pantainya, seperti yang termaktub dalam Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) 1982.

Nama “West Philippine Sea” menjadi simbol penentangan terhadap tuntutan luas China di Laut China Selatan yang berlandaskan “nine-dash line”, satu garis tuntutan sejarah yang ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) pada tahun 2016.

Cabaran besar timbul apabila China mendakwa hampir keseluruhan Laut China Selatan melalui ‘nine-dash line’ (adakalanya dikenali sebagai 11-dash line) satu tuntutan sejarah yang tidak diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.

Tuntutan ini bukan sahaja melibatkan Filipina, tetapi juga negara-negara seperti Malaysia, Vietnam dan Brunei.

Hingga kini, kepulauan yang kaya dengan hasil laut serta sumber tenaga seperti Spratly dan Scarborough Shoal menjadi rebutan antara kuasa-kuasa besar dunia.

Pada tahun 2016, Mahkamah PCA di The Hague memberikan kemenangan kepada Filipina dalam kes tuntutan terhadap China. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan ‘nine-dash line’ adalah tidak sah dan menganggap China telah melanggar hak berdaulat Filipina.

Namun, keputusan ini langsung tidak dipatuhi oleh Beijing apabila kapal pengawal pantai China (China Coast Guard, CCG) terus beroperasi di kawasan ZEE Filipina malah membina struktur buatan di beberapa terumbu yang dituntut.

Dalam ketegangan yang berlarutan ini, satu perkara tetap jelas tentang label “West Philippine Sea” bukan sekadar titik di dalam peta.

Ia adalah nadi kepada kehidupan rakyat Filipina yang bergantung harap kepada laut. Ianya juga dilihat sebagai medan ujian kepada keupayaan sebuah negara mempertahankan kedaulatan tanpa menimbulkan konflik bersenjata.

Ini juga merupakan persoalan tentang keadilan, perundangan dan ketidakseimbangan kuasa di pentas dunia.

Walaupun label “West Philippine Sea” ini dianggap sebagai pengiktirafan besar oleh kerajaan Filipina, terdapat juga cabaran atau implikasi terhadap kedaulatan Filipina dalam mempertahankan kawasan ZEE mereka.

Penggunaan nama “West Philippine Sea” sudah pastinya tidak disenangi oleh China. Negara kuasa besar Asia itu berpendapat penggunaan nama tersebut mencabar kedaulatan sejarah mereka terhadap Laut China Selatan, berdasarkan “nine-dash line” yang mereka dakwa.

Hal ini sekaligus akan menambahkan lagi ketegangan diplomatik antara Filipina dan China, serta antara China dan negara-negara yang menyokong Filipina.

Sejak 2011, istilah “West Philippine Sea” telah digunakan secara rasmi oleh kerajaan Filipina melalui Executive Order No. 29 yang menetapkan penggunaannya dalam dokumen rasmi kerajaan, peta negara, buku teks dan siaran media awam.

Ini bermakna dari segi dasar negara, istilah “West Philippine Sea” telah kukuh sebagai sebahagian daripada strategi kedaulatan dan identiti nasional. Dalam masa sama, Peningkatan penggunaan oleh Google Maps kini dijangka akan mempercepatkan kesedaran awam, terutama dalam kalangan generasi muda yang bergantung kepada teknologi dan maklumat digital.

Justeru, penggunaan “West Philippine Sea” bukan lagi sekadar satu istilah alternatif sahaja, ia adalah sebahagian daripada strategi nasional Filipina dalam mempertahankan hak maritim mereka.

Dengan usaha oleh pihak Malacanang, institusi serta media Filipina, dan  kini platform global seperti Google Maps, istilah mula diketengahkan secara beransur-ansur disebalik gelombang konflik Laut China Selatan. -airtimes.my

#WestPhilippineSea #Filipina #Manila #China #Beijing #LautChinaSelatan #Maps #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply