Penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan kelmarin menimbulkan kemarahan rakyat.
Sehingga semalam sebanyak 13 laporan polis dibuat mengenainya.
Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dilihat sebagai satu kecuaian serius.
Soalan yang dilontarkan masyarakat ketika ini ialah adakah insiden ini satu kesilapan atau disengajakan?
Memandangkan isu ini telah pun dalam siasatan polis, seeloknya kita serahkan proses seterusnya dijalankan oleh pihak berkuasa tersebut.
Polis akan menjalankan siasatan terhadap akhbar berbahasa Cina ini susulan laporan-laporan yang diterima.
Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula memulakan siasatan serta-merta berpandukan dua perundangan iaitu Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 (Akta 414) dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).
KDN bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang membabitkan hal berkaitan.
Ramai yang bertanya bagaimana muka depan akhbar dihasilkan?
Proses menyiapkan sebuah akhbar termasuk suntingan dibuat dengan pengarang atau editor mengagihkan tugas tersebut kepada petugas-petugas seperti penolong pengarang, pengarang berita dan penolong pengarang berita.
Ini adalah barisan editorial yang bertungkus lumus menyiapkan sesebuah akhbar. Proses sama diamalkan oleh kebanyakan media cetak di dunia.
Pengarang merupakan ketua bagi sesebuah akhbar, jika agensi yang lebih ia mempunyai ketua pengarang.
Kebiasaannya muka depan akhbar termasuk bahagian muka surat yang penting akan disemak oleh pengarang.
Sekiranya pengarang tiada, tanggungjawab itu diambil alih timbalan atau penolong pengarang.
Ada sesetengah pengarang tidak membenarkan individu lain membuat semakan kecuali dirinya sahaja walaupun semasa bercuti.
Ini bagi mengelak berlakunya kesilapan kerana muka depan yang menyiarkan berita utama pada hari tersebut merupakan imej syarikat.
Jadi, apa yang dipaparkan pada muka depan akhbar akan disemak berkali-kali termasuk ejaan, susunan ayat, pemilihan gambar dan grafik.
Atau setidaknya dia menjadi orang terakhir memeriksa muka depan setelah disemak oleh timbalannya jika dia tiada di pejabat.
Sebelum sampai ke tangan pengarang, muka depan terlebih dahulu disunting selalunya oleh pengarang berita atau pengarang berita kanan.
Bagi pemilihan gambar muka depan pula ia ditentukan oleh pengarang setelah dicadangkan oleh ketua jurufoto.
Begitu juga paparan grafik atau ilustrasi jika ada pada muka depan akhbar. Kebiasaannya ilustrasi dan grafik muka depan dihasilkan oleh ketua bahagian grafik, ketua ilustrasi atau pereka bertaraf senior.
Tugasan ini tidak sesekali diberi kepada pereka grafik baharu atau yang setahun jagung bekerja.
Paparan grafik dan ilustrasi ini juga hanya dibenarkan siar setelah mendapat pengesahan pengarang.
Sesebuah akhbar hanya dibenarkan untuk dicetak setelah selesai semua proses suntingan, semakan dan mendapat pengesahan pengarang.
Jadi, kebarangkalian untuk berlaku sebarang kesilapan adalah tipis.
Soalan seterusnya, adakah kesilapan masih boleh berlaku setelah akhbar dihantar untuk cetakan?
Sebelum akhbar dicetak, ia sekali lagi akan diperiksa oleh pihak yang bertugas di bahagian percetakan untuk proses cetakan.
Bagaimana pun, mereka tidak akan membuat sebarang perubahan kerana setiap muka surat yang hendak dicetak telah mendapat lampu hijau pengarang.
Melainkan jika ada kesalahan dikesan pada muka surat tertentu atau ada sebarang perubahan penting untuk dibuat semasa akhbar sedang dicetak, pengarang akan dimaklumkan terlebih dahulu untuk dibuat pembetulan.
Akhbar yang siap dicetak juga akan disemak oleh petugas atau penyelia operasi di kilang bagi memastikan ia dicetak dengan betul.
Bagi kesilapan yang besar seperti menyiarkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit, sudah pasti tiada mana-mana penerbitan yang berani berbuat sedemikian.
Sudah pasti pengarang akan memeriksa berkali-kali, apatah lagi jika paparan muka depan menyiarkan tentang lawatan ketua negara besar ke sini.
Melainkan jika perkara ini dianggap sebagai kesilapan kecil atau tiada siapa yang perasan kerana tidak semua orang membaca akhbar bukan berbahasa kebangsaan.-airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Semasa #JalurGemilang