PUTRAJAYA, 17 April – Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan demi keselamatan serta keselesaan pengunjung.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, bahawa Menara Kuala Lumpur adalah milik kerajaan dan pengoperasian serta penyelenggaraan menara tersebut kini diuruskan oleh syarikat baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), bermula 1 April 2025.
Dalam kenyataan yang sama, kementerian turut menjelaskan bahawa pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Sehubungan itu, dua notis pengosongan telah dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan kepada MKLSB bertarikh 3 April dan 9 April 2025.
“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan,” kata kenyataan malam tadi.
Penutupan sementara ini turut mengambil kira aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung, di samping memberi ruang kepada pihak pengurusan baharu melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan.
Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.
Pada 31 Mac lepas, Kementerian Komunikasi memaklumkan pengambilalihan konsesi melibatkan Menara KL tidak akan menjejaskan operasi dan pekerja di menara komunikasi itu.
Kementerian itu dilapor memaklumkan rundingan bersama syarikat konsesi baharu LSHSM telah menggariskan terma-terma yang tidak menjejaskan operasinya, yang akan berjalan seperti biasa.-airtimes.my
#semasa #MenaraKL #airitmes #Malaysia