KUALA LUMPUR, 17 APRIL – Mantan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim hari ini menggesa Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar agar segera memberikan penjelasan mengenai status Bahasa Melayu sebagai bahasa sahih Perlembagaan Malaysia.
Tegasnya, meskipun Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa teks sahih Perlembagaan boleh diperbuat dan dilaksanakan dalam Bahasa Melayu, perkara ini masih belum dihuraikan secara lengkap sejak kemerdekaan.
“Penyampaian ini adalah mengumumkan persoalan khas terhadap Yang Berbahagia Peguam Negara Malaysia yakni Datuk Mohd Dusuki Mokhtar agar beliau dapat menjelaskan satu isu penting berhubung dengan Perlembagaan Tanah Air kita,
“Di bawah perkara 160 dikatakan bahawa teks sahih Perlembagaan Malaysia boleh diperbuat dan dilaksanakan dengan Bahasa Melayu,
“Tetapi, sejak merdeka, hak ini tidak disingkap secara profesional dan secara lengkap, maka Bahasa Melayu itu masih tergantung sebagai bahasa yang tidak boleh diikiraf sebagai bahasa perlembagaan keseluruhan Malaysia,” kata Rais Yatim.
Menurut beliau, isu ini kembali mendapat perhatian apabila pada 16 Januari lalu, Kebawah Duli Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis, telah menulis kepada Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan berhubung pendirian Jabatan Peguam Negara terhadap status Bahasa Melayu dalam Perlembagaan.
Malah, pada 29 September 2003, Tuanku Syed Sirajuddin yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong, secara peribadi telah menyaksikan persetujuan supaya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi Perlembagaan.
“Persoalan yang timbul ialah semenjak tahun 2003 itu sampai pada hari ini, apakah kemajuannya dan di mana letaknya Bahasa Melayu itu,
“Sama ada sahih atau tidak sebagai bahasa rasmi Perlembagaan atau masih tergantung tanpa tali yang pada masa ini sehingga dicurigai oleh pelbagai pihak,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, rakyat Malaysia khususnya berhak mengetahui status sebenar kerana ia melibatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
“Peguam Negara harus memberi jawapan tegas. Pada hemat saya, majlis pada 29 September tahun 2003 itu yang tertera dalam sepucuk surat yang diutus oleh Kebawah Duli Tuanku kepada Peguam Negara mesti dijawab,
“Dan pada pengamatan saya, Bahasa Melayu sudah pun berkuat-kuasa dengan Kebawah Duli Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong ketika itu menjadi bahasa rasmi,” ujar Rais Yatim dalam satu kenyataan khas.
Beliau menambah, jika benar Bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi Perlembagaan dengan kuat kuasa Yang di-Pertuan Agong ketika itu, maka pengesahan dan pewartaan rasmi perlu dibuat dengan segera bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.
“Rakyat masih menunggu, apakah ini masih merupakan keadaan yang belum jadi ataupun sudah diwartakan. Peguam Negara harus menjawabnya,” tegas beliau mengakhiri kenyataan. -airtimes.my
#AirTimes #bahasamelayu #perlembagaanmalaysia #peguamnegara #RaisYatim #Agong