KUALA LUMPUR, 27 MAC– Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses menjalankan siasatan terperinci berhubung penyebaran sebuah klip video berdurasi 2 minit 57 saat yang didakwa mempromosi fahaman komunis di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam kenyataan berkata, penularan video membabitkan sebuah pertubuhan tidak berdaftar dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia atau Persatuan Penyatuan Satu Cina.
“PDRM memandang serius dakwaan tersebut kerana sebarang usaha menghidupkan semula fahaman komunis, sama ada secara halus atau terbuka adalah bertentangan dengan prinsip Rukun Negara serta boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara,”
Beliau berkata siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 41/43, Akta Pertubuhan 1966, Seksyen 505(b), Kanun Keseksaan, Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKMM).
“Malaysia secara tegas telah menolak ideologi komunis sejak tahun 1948 dan sebarang bentuk promosi atau glorifikasi terhadap fahaman ini boleh diklasifikasikan sebagai satu ancaman kepada ketenteraman awam serta perpaduan nasional,” ujarnya.
Justeru, tindakan berlandaskan undang-undang boleh diambil terhadap sebarang cubaan untuk menggugat kedaulatan negara atau menyemai fahaman yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, PDRM menyarankan agar orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan, video atau gerakan yang boleh mencetuskan kegusaran awam dan menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.
“Masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan terus kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi serta tidak menyebarkan kandungan yang belum disahkan, kerana ia boleh mengundang salah faham dan mengeruhkan keadaan.” tegasnya. -airtimes.my
#AirTimes #PDRM #Komunis #Cina #Malaysia