if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa LTAT umum dividen 5.25 peratus, libatkan RM514.20 juta

LTAT umum dividen 5.25 peratus, libatkan RM514.20 juta

by Zulfadhli Azmie

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan dividen pada kadar 5.25 peratus bagi tahun kewangan 2024 dengan jumlah agihan pembayaran sebanyak RM514.20 juta.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, jumlah pembayaran kepada pendeposit tahun ini ialah RM514.20 juta, lebih tinggi daripada dividen 5 peratus yang diumumkan tahun sebelumnya dengan pembayaran RM485.08 juta.

Menurutnya, ia adalah kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun dan akan memanfaatkan 125,014 penyumbang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Pengumuman dividen ini bukan sekadar angka, tetapi satu simbol kepercayaan dan keyakinan Kementerian Pertahanan terhadap hala tuju LTAT. Ia adalah bukti bahawa setiap usaha yang telah dilaksanakan oleh LTAT memberikan impak nyata kepada para pencarum,

“Saya yakin pengumuman ini akan membawa berita gembira kepada semua pencarum dan terus memperkukuh keyakinan mereka bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,

“Dalam masa yang sama, kita akan terus mengukuhkan peranan LTAT sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi, sekaligus memperluaskan sumbangan dalam sektor-sektor bernilai tambah tinggi yang memberi manfaat besar kepada pencarum dan negara,” katanya semasa berucap di Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2024, hari ini.

Dividen bagi tahun kewangan 2024 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 28 Mac 2025 dan pencarum boleh menyemak penyata melalui aplikasi mudah alih MyWIRA atau laman web rasmi LTAT.

Menteri Pertahanan turut menegaskan bahawa LTAT bukan sekadar sebuah dana pelaburan, tetapi juga tulang belakang kepada kesejahteraan anggota ATM dan ekosistem kebajikan dan pembangunan negara.

“Namun, tugas ini bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut kepercayaan dan sokongan padu daripada semua pihak,

“Oleh itu, kita mesti memberi ruang dan peluang kepada LTAT untuk terus melaksanakan perancangannya dengan berkesan demi mencapai matlamat yang telah ditetapkan,” tegasnya lagi.

Selain daripada pengumuman dividen, LTAT turut mengumumkan pemilihan lima kem tentera di bawah inisiatif ‘Kem SANTUNI MADANI’ dengan kerjasama Syarikat Kumpulan LTAT.

Menerusi inisiatif ini, LTAT dan syarikat berkaitan akan menangani cabaran yang dihadapi oleh kem-kem ini, termasuk penambahbaikan infrastruktur, inisiatif pemerkasaan kewangan, serta program sokongan komuniti yang lain.

Inisiatif ini sebahagian daripada komitmen LTAT yang berterusan untuk memperkukuh hubungan dengan pencarum.-airtimes.my

#pertahanan #LTAT #dividen #ATM #Mindef #airtimes

Related Articles

Leave a Reply