if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa Kerajaan percepat projek tebatan banjir, jimat kos RM1.7 bilion

Kerajaan percepat projek tebatan banjir, jimat kos RM1.7 bilion

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Kerajaan mengambil langkah mempercepatkan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (PTB) bagi memastikan keberkesanan pengurusan bencana dan mengurangkan risiko banjir di dalam negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang sebelum ini mengambil masa lebih 24 bulan bagi proses pengambilan tanah kini diberi keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh enam bulan dengan kerjasama Kerajaan Negeri.

“Dulu Rantau Panjang ada Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga, tetapi kini kita mengambil keputusan untuk menyatukan ketiga-tiga fasa ini,

“Ini termasuk penyelenggaraan di bawah Majlis Keselamatan Negara kerana melibatkan rundingan kita Sungai Golok, Rantau Panjang dan juga soal mengorek dan membersihkan muara Sungai Golok yang melibatkan kedua-dua Kerajaan, Persekutuan dan Kerajaan Thailand,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai langkah proaktif kerajaan menangani banjir setiap kali musim monsun dan faktor luar jangka di kawasan sering serta berpotensi dilanda bah.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menjelaskan, pelaksanaan lebih awal ketiga-tiga fasa ini melibatkan tambahan kos sebanyak RM2 bilion, namun langkah tersebut membawa kepada penjimatan keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion.

Sementara itu Anwar menjelaskan, kerajaan turut mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi melaksanakan Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT) di Johor dengan kos RM1.64 bilion.

“Dua projek di Batu Pahat dan Ledang, maknanya projek-projek ini diawalkan 12 bulan daripada unjuran awal perancangan projek kerana ia mengambil masa.

“Kerajaan sejak 2024 telah beri kelonggaran kepada kerajaan negeri (gunakan) wang Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia) termasuk untuk menyediakan Jambatan Bailey,” jelasnya lagi. -airtimes.my

#semasa #Anwar #banjir #Malaysia #sungaigolok #thailand #airtimes

Related Articles

Leave a Reply