KUALA LUMPUR, 25 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi amaran tegas kepada kontraktor yang terlibat dalam projek naik taraf Blok B, Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Desa Tun Hussein Onn (DTHO) agar menyiapkan projek sebelum 2 Mac 2025 atau berdepan tindakan denda kelewatan.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar menegaskan bahawa ATM tidak akan sesekali berkompromi terutamanya yang melibatkan kesejahteraan anggota dan keluarga mereka.
Beliau menekankan bahawa sebarang kelewatan akan memberi kesan kepada kebajikan anggota ATM, dan tindakan denda akan dikenakan sekiranya projek tidak disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“ATM tidak akan sesekali berkompromi apabila ianya melibatkan kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka kerana kesejahteraan adalah kunci kepada keberkesanan operasi ketenteraan yang berterusan,” jelas Markas ATM dalam hantaran dilaman Facebooknya, pada Isnin.
Terdahulu, Panglima Angkatan Tentera telah turun padang untuk menilai kemajuan kerja-kerja naik taraf yang melibatkan unit kediaman, kawasan bersama, serta aspek mekanikal dan elektrikal.
Taklimat berkenaan projek itu disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (KP BPKP), Brigedier Jeneral Sr Ratenah Ismail.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar telah menerima taklimat berkenaan projek naik taraf Blok B, RKAT, DTHO yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (KP BPKP), Brigedier Jeneral Sr Ratenah Ismail. Foto: BRKSP
Projek yang bermula pada Mei 2024 ini melibatkan 28 syarikat kontraktor dengan skop kerja merangkumi 8 blok kediaman, taman permainan, laluan pejalan kaki, parkir motosikal berbumbung, turapan jalan serta kerja-kerja elektrik.
Namun, projek yang sepatutnya siap sepenuhnya pada Oktober 2024 masih mengalami kelewatan, dengan hanya 4 blok dan taman permainan disiapkan sepenuhnya, manakala baki 4 blok berada pada tahap 97% kemajuan.
Menurut Markas ATM, kontraktor syarikat dilantik turut menjelaskan perkembangan terkini serta cabaran yang dihadapi dalam usaha menyiapkan projek.
Namun, PAT menegaskan bahawa ATM mahu melihat tindakan proaktif dan bukannya alasan, kerana kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka adalah keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
“Projek naik taraf ini bukan sekadar penambahbaikan infrastruktur, tetapi juga mencerminkan komitmen ATM dalam menyediakan persekitaran kediaman yang kondusif dan selamat bagi anggota serta keluarga mereka,
“Ketegasan PAT dalam perkara ini mencerminkan kesungguhan ATM dalam memastikan kualiti hidup warganya terus dipelihara,” jelas hantaran itu lagi.
Panglima Angkatan Tentera turut memaklumkan bahawa sesi lawatan ke tapak projek naik taraf yang lain, termasuk di RKAT Kem Perdana Sungai Besi dan RKAT Jalan U-Thant, akan diteruskan bagi menilai kemajuan projek yang sedang berjalan.
Turut hadir, Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Dato’ Azhan Md Othman, Asisten Ketua Staf Logistik Pertahanan Markas ATM, Mejar Jeneral Dato’ Abdul Aziz Abu Hassan, Brigedier Jeneral Zulmadi Ariffin selaku Komander Garison Kuala Lumpur, serta delegasi dari Markas ATM.-airtimes.my
#pertahanan #RKAT #DTHO #rumahkeluarga #ATM #airtimes