KUALA LUMPUR, 25 FEB – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari hari ini memberi jaminan bahawa keperluan baju loreng Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk pelatih PLKN 3.0 akan mencukupi bagi kumpulan seterusnya yang bakal meningkat kepada 500 orang.
“Kita akan pastikan dia (uniform) cukup. Bila sampai masanya, kita akan pastikan segala keperluan bukan sahaja melibatkan baju namun keperluan-keperluan lain bagi wira muda dapat kita sempurnakan,” katanya ketika ditanya mengenai dakwaan kekurangan pakaian seragam di dalam inventori ATM.
Beliau turut menjelaskan, pakaian seragam loreng pelatih akan dikitar semula dan diselia dengan baik untuk kegunaan peserta baharu.
“Baju ini kita akan dapatkan semula, jadi kita akan pastikan bahawa ianya dapat dijaga dengan baik untuk kegunaan seterusnya,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui AirTimes selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 bertempat di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW), pada Selasa.

Timbalan Menteri Pertahanan (MINDEF), Adly Zahari (Foto: Zulhaizi/ AirTimes)
Dalam pada itu, pelaksanaan PLKN akan diteruskan dengan Siri 2/2025 yang dijadualkan berlangsung dari 11 Mei hingga 24 Jun 2025, diikuti Siri 3/2025 dari 7 September hingga 21 Oktober 2025.
Kedua-dua siri ini akan diadakan dengan pengasingan jantina iaitu pelatih wanita di Kem Rejimen 515 AW, Kuala Lumpur manakala pelatih lelaki di Kem Rejimen 505 AW di Pekan, Pahang.
Mengulas lanjut, pada hari ini, seramai 116 pelatih berusia antara 18 hingga 25 tahun telah berjaya menamatkan latihan selama 45 hari yang bermula sejak 12 Januari 2025.
Jumlah ini merangkumi 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita.
Kesemua mereka telah melalui modul latihan yang merangkumi 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, dengan objektif membentuk belia yang lebih berdisiplin, bermotivasi dan patriotik.
Perbarisan tamat latihan ini diketuai oleh Muhammad Khairel Ikhsan Suip sebagai Ketua Perbarisan, dengan iringan Pancaragam Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1RAMD) dan Pancaragam Rejimen 502 AW.
Turut hadir ke majlis ini adalah Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Hj Ya’cob Hj Samiran. -airtimes.my
#PLKN #Uniformceloreng #Wiramuda #MINDEF #JLKN #AirTimes