Home Pertahanan dan Keselamatan 120 pelatih sahut cabaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025

120 pelatih sahut cabaran Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 JAN – Seramai 120 orang sukarelawan telah mendaftar untuk menyertai program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1/2025, hari ini.

Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan, kesemua 120 pelatih itu adalah terdiri daripada 80 lelaki dan 40 wanita yang berusia di antara 18 hingga 25 tahun.

Selain itu, 13 daripada jumlah tersebut telah mendaftar secara “walk-in” semasa proses pendaftaran PLKN 3.0 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur.

PLKN 3.0 secara rasmi bermula pada hari ini dan berlangsung selama 45 hari.

“Program PLKN 3.0 Siri 1/2025 ini merupakan wadah pembentukan satu generasi baharu yang mempunyai semangat patriotisme, mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawan,

“Sepanjang program PLKN 3.0, pelatih akan diberikan pendedahan terhadap latihan fizikal, mental dan sivik. Modul-modul latihan mengintegrasikan 70% Latihan Asas Ketenteraan dan 30% Komponen Kenegaraan,” kata kenyataan itu.

Jelas Kementerian Pertahanan Malaysia, modul Latihan Asas Ketenteraan para pelatih akan dilengkapkan dengan kemahiran asas ketenteraan, dasar keselamatan negara, asas kesejahteraan hidup Malaysia MADANI dan kemahiran kepimpinan.

“Modul Komponen Kenegaraan akan mendedahkan pelatih dengan latihan tentang elemen jati diri, patriotisme dan memperkukuh perpaduan,” jelasnya.

PLKN 3.0 yang diadakan pada tahun ini akan dilaksanakan sebanyak 3 siri dan dilaksanakan pada 2 kem yang berbeza.

Siri kedua PLKN 3.0 akan dilaksanakan pada Mei-Jun 2025 manakan siri ketiga adalah pada sekitar September-Oktober tahun ini.

#AirTimes #PLKN #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?