KUALA LUMPUR, 25 Feb – Kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber antara isu yang akan dibangkitkan oleh Malaysia dalam Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) berlangsung hari ini sehingga Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terdapat keperluan mendesak bagi ASEAN menilai jurang persefahaman dan pengadaptasian AI bagi menjamin keselamatan serta pertahanan serantau pada masa depan.
“Kita tidak boleh nafikan hakikat bahawa pada masa depan, penentuan keselamatan, keamanan dan pertahanan negara akan banyak dipengaruhi oleh penggunaan teknologi termasuk AI bagi membantu usaha memastikan ketahanan pertahanan dan keselamatan negara,
“Pada masa sama, penyalahgunaan teknologi dan AI juga boleh menjadi ancaman. Justeru, Malaysia melihat perkara ini dibincangkan bersama,” katanya seperti dilapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi Permukiman ADMM di George Town, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga akan membawa isu keselamatan maritim dalam negara ASEAN.
“Kita pun tahu cabaran maritim termasuk Laut China Selatan, tuntutan-tuntutan bertindih di kawasan adu kuasa antara beberapa negara. Kita nak elak supaya tiada konflik di kawasan-kawasan di Laut China Selatan,
“Maka adalah penting untuk kita pastikan adanya kebebasan untuk laluan di laut tersebut, perlunya untuk kita mengekalkan atau menjunjung undang-undang antarabangsa dalam menggunakan laluan-laluan dalam rantau kita dan sebagainya,
“Selain itu, sebolehnya untuk memastikan kurangnya peningkatan aset-aset ketenteraan di kawasan Laut China Selatan. Atas sebab itu lah, perlu untuk negara-negara ASEAN untuk berbincang mengenai perkara ini bagaimana kita perlu secara bersama berhadapan dan menangani soal keselamatan maritim dalam kawasan kita,” katanya lagi.
Selain itu, Malaysia juga akan mencadangkan penubuhan pasukan ‘Bantuan Kemanusiaan dan Bencana’ dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi menangani bencana alam yang semakin kerap berlaku di rantau ini akibat perubahan iklim.
Dalam usaha memperkukuh industri pertahanan serantau, Mohamed Khaled berkata ASEAN perlu memperhebatkan kerjasama dalam pembangunan industri pertahanan tempatan bagi memajukan rantaian pembekalan pertahanan di rantau ini.
Selain itu, beliau memaklumkan Malaysia juga akan mengetengahkan ancaman daripada pelaku bukan negara dan biosekuriti yang semakin berkembang serta memerlukan tindakan serantau yang lebih tersusun.
“Kumpulan-kumpulan pengganas serta kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam jenayah-jenayah besar berpotensi menjadi ancaman bersenjata. Oleh itu, kerjasama ASEAN dalam menangani isu ini amat penting,” katanya.
Kesemua cadangan itu akan dibawa Malaysia pada Permukiman ADMM esok dan seterusnya ke Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November ini untuk diperhalusi dan dipersetujukan oleh semua negara anggota.
Mohamed Khaled menegaskan Pemukiman ADMM menjadi platform penting bagi ASEAN dalam menilai cabaran serantau, termasuk perkembangan geopolitik global serta memperkukuh kesepaduan blok itu bagi memastikan rantau ini kekal stabil dan bersatu dalam menghadapi cabaran keselamatan.
Lebih 150 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN termasuk negara pemerhati Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN dijangka menghadiri permukiman kali ini yang berlangsung sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.
#pertahanan #ADMM #maritim #khalednordin #airtimes