KUALA LUMPUR, 25 FEB – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 terus diperhebat sebagai platform pembangunan jati diri dan semangat patriotisme generasi muda, bukan sekadar kewajipan yang mengganggu masa depan mereka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan, PLKN tidak akan merosak masa depan belia, sebaliknya membentuk pemikiran dan sahsiah yang lebih baik.
Tegasnya, pelaksanaan PLKN adalah wajar dalam usaha membina generasi muda yang lebih berketerampilan dan berdaya saing untuk menghadapi liku-liku kehidupan.
“Sebenarnya kalau kita lihat, kita (kerajaan) melaksanakan PLKN ini adalah satu proses untuk meningkatkan keupayaan generasi muda. Mungkin sebahagian generasi muda merasakan itu satu paksaan,
“Tapi sebenarnya itu adalah satu pengetahuan dan kita yakin bahawa usaha melalui PLKN itu dapat meningkatkan keupayaan dan jati diri mereka,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 bertempat di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (AW), pada Selasa.
Sebelum ini, dalam perbahasan Titah Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 12 Februari, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, menggesa kerajaan untuk menarik balik pelaksanaan PLKN 3.0.

Pelatih ketika Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 1/2025 yang bertempat di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, pada Selasa. (Foto: Kementerian Pertahanan)
Yu Hui menyifatkan program tersebut bukan sahaja membebankan golongan muda malah merupakan satu bentuk paksaan yang mencabuli hak kebebasan belia dalam menentukan masa depan mereka sendiri.
Mengulas lanjut, Adly menegaskan, generasi muda kini berdepan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Justeru PLKN memainkan peranan penting dalam membekalkan generasi muda dengan ilmu dan pengalaman yang diperlukan untuk membina ketahanan diri.
“Saya fikir kalau mereka mengambil semangat PLKN itu, mereka akan jadi generasi yang boleh mengupayakan diri dan akhirnya memberikan sesuatu yang terbaik untuk negara dan Malaysia secara keseluruhannya,” tambahnya lagi.
Tambahnya, program yang menekankan 30 peratus elemen kenegaraan dan 70 ketenteraan latihan ketenteraan ini diterima baik oleh pelatih dari pelbagai latar belakang.
“Secara keseluruhannya, modul ini merupakan suatu kejayaan berdasarkan input yang diberikan oleh Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN). Modul 30% dan 70% itu memang baik untuk diterima oleh para wira muda kita. Cuma yang mana kita boleh tambah baik, kita akan tambah baik supaya kita boleh mengupayakan lagi wira muda kita,” jelasnya.
Untuk rekod, PLKN 3.0 siri 2/2025 dijadual berlangsung pada 11 Mei hingga 24 Jun dan diikuti siri ke-3 bermula 7 September hingga 21 Oktober menerusi pemilihan yang diuruskan JLKN.
Namun, bagi belia yang secara sukarela ingin mengikuti program tersebut masih boleh berbuat demikian- airtimes.my
#PLKN #MINDEF #Belia #Airtimes #Wiramuda #Raub #Adly