THAILAND, 26 Feb – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyertai Eksesais Cobra Gold 2025 (Eks CG 25) bagi memperkukuh hubungan diplomasi pertahanan dengan negara-negara lain serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam misi bantuan kemanusiaan
Markas Angkatan Bersama (MK AB) menjelaskan, eksesais ini berlangsung dari 3 Februari hingga 7 Mac dan melibatkan 46 peserta dari Malaysia, terdiri daripada ATM, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Delegasi ATM dan agensi awam lain diketuai oleh Pengarah Eks J7 Markas Angkatan Bersama (MKAB), Kolonel Ismail Mohamed.
Majlis Pembukaan Eks CG 25 telah disempurnakan oleh Ketua Angkatan Tentera Diraja Thailand (RTARF), Jeneral Songwit Noonpackdee, bersama Duta Besar Amerika Syarikat ke Thailand, Robert F. Godec dan Komander USARPAC, Jeneral Ronald P. Clark.
Turut hadir, Encik Bong Yik Jui, Charge d’Affaires Pejabat Kedutaan Malaysia di Thailand.
Menurut MK AB, eksesais yang berkonsepkan Peace Enforcement Operation (PEO) dan Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR), bertujuan meningkatkan hubungan diplomasi pertahanan antara ATM, RTARF dan tentera negara-negara lain yang turut terlibat seperti Amerika Syarikat, Singapura, Indonesia, Jepun dan Korea Selatan.
Penglibatan ATM, SMART dan NADMA dalam eksesais ini menonjolkan peranan Malaysia dalam usaha bantuan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Cobra Gold merupakan eksesais ketenteraan tahunan yang tertua di Asia Tenggara dan edisi kali ini merupakan penganjuran ke-44 sejak ia mula diperkenalkan.
Dengan penglibatan pelbagai negara, eksesais ini terus menjadi platform penting dalam meningkatkan keupayaan ketenteraan dan kesiapsiagaan menghadapi situasi kecemasan serantau.-airtimes.my
#pertahanan #eksesais #Cobragold #Malaysia #Thailand #airtimes