Home Semasa Rakyat Malaysia antara 261 individu diselamatkan dari sindiket scammer Myanmar

Rakyat Malaysia antara 261 individu diselamatkan dari sindiket scammer Myanmar

by Suraya Aziz

BANGKOK, 14 FEB – Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) mengesahkan seramai 15 rakyat Malaysia antara 261 individu yang telah berjaya diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan (job scam) di Myanmar.

Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari 2025.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia yang terlibat.

“Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, mengambil maklum bahawa seramai 261 orang warganegara asing, termasuk 15 orang rakyat Malaysia, telah diserahkan oleh pihak Myanmar kepada pihak berkuasa Thailand pada 12 Februari 2025.

“Kesemua individu yang diselamatkan kini ditempatkan di kem tentera Fort Vachiraprakan dan akan menjalani saringan National Referral Mechanism (NRM) sebelum dihantar pulang ke negara asal masing-masing,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pihaknya akan mengadakan lawatan dan memberikan bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terlibat, sejurus mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa Thailand.

Ini termasuk menghubungi waris serta memudah cara urusan penghantaran pulang kesemua mangsa terlibat ke Malaysia.

“Kementerian ini melalui Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan komited dalam menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia yang terlibat,” tambahnya lagi. -airtimes.my

#KDN #Sindiket #Scam #Malaysia #AirTimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?