Home Semasa Gencatan senjata penting selamatkan nyawa rakyat Palestin – Wisma Putra

Gencatan senjata penting selamatkan nyawa rakyat Palestin – Wisma Putra

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Malaysia menyambut baik gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel, menyifatkannya sebagai langkah penting untuk menamatkan konflik selama 15 bulan yang telah menyebabkan kematian, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan besar di Gaza.

Kementerian Luar (Wisma Putra) menegaskan, perjanjian tersebut juga membuka laluan untuk untuk penghantaran bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan ke Gaza, terutamanya dalam menghadapi musim sejuk yang mencabar.

“Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin, yang masih berada di Gaza,” kata Wisma Putra dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia turut memuji peranan Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan mereka dalam mencapai perjanjian tersebut.

Penekanan kini diberikan kepada pelaksanaan perjanjian itu secara efektif dan mengikut komitmen semua pihak.

Terdahulu, Air Times melaporkan, gencatan senjata di Gaza dijangka bermula Ahad ini setelah perunding proses damai mencapai kesepakatan, pada Rabu.

Berdasarkan draf akhir, Hamas bersetuju membebaskan 33 tahanan Israel dengan balasan ratusan tahanan Palestin yang berada dalam penjara Israel.

Sementara itu, Hamas mengesahkan delegasi mereka memberi lampu hijau untuk pelaksanaan tempoh bertenang tersebut selain pertukaran perjanjian tahanan Palestin.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia kekal teguh bersolidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk bersatu mencari penyelesaian kekal terhadap salah satu konflik paling lama di dunia.

“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, mewujudkan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#Malaysia #Palestin #Gaza #genjatansenjata #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?