KUALA LUMPUR, 16 Jan – Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menyemak semula kedudukan Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) pada tahun ini dalam usaha mengesan dan menarik bakat terbaik menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan akan dibuat membabitkan pencapaian dan keberkesanan matlamat penubuhan akademik berkenaan.
“Faktor seperti keciciran dalam kalangan kadet, isu disiplin, kelestarian kos dalam menetapkan bidang yang diperlukan perlu diperhalusi secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2025 di Wisma Perwira pada Khamis.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali.
Mengulas lanjut, Khaled berkata, Kementerian juga akan memikirkan pembiayaan khas bagi menaja pengajian pelajar-pelajar dalam bidang kritikal yang diperlukan ATM.
“Kementerian juga akan mempertimbangkan pendekatan menebus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) graduan terpilih dalam kalangan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang berjaya diterima masuk ke dalam ATM,” ujarnya lagi.
Pada tahun lalu, negara digemparkan dengan kejadian buli membabitkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (ALK–UPNM) yang cedera ditekap seterika disyaki dilakukan penuntut senior.
Hasil siasatan dijalankan, 5 pegawai kadet ALK-UPNM yang terlibat dalam kes buli terbabit dikenakan tindakan pembatalan perkhidmatan dan diarah membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia.-airtimes.my
#UPNM #ALK #pertahanan #kadet #buli #airtimes #Malaysia