KUALA LUMPUR, 16 Jan – Kementerian Pertahanan (MINDEF) komited memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi perolehan aset strategik dan peningkatan teknologi terkini dalam pembangunan Angkatan Masa Hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan memperuntukkan RM12 bilion bagi perolehan dan kelengkapan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memenuhi keperluan serta cabaran semasa.
Menurutnya, antara perolehan aset utama yang telah diluluskan pada tahun ini termasuk Meriam 105 milimeter Pack-Howitzer untuk Tentera Darat.
“Perolehan aset termasuk Surface to Surface Missile (SSM) bagi kegunaan KD JEBAT milik TLDM dan 3 unit Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE UAS),” katanya ketika berucap pada Majlis Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025 di Wisma Perwira, hari ini.
Selain itu, kerajaan turut menumpukan perhatian terhadap pembangunan aset penting ATM, termasuk pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS).
“LCS1 kini dalam fasa Ujian Penerimaan Pelabuhan (HAT) dan Ujian Penerimaan Laut (SAT) dengan kemajuan penyiapannya mencapai 96.52%,
“Kemajuan turut dicatatkan bagi kapal LCS2 hingga LCS5 yang masing-masing mencapai 86.61%, 76.60%, 65.05%, dan 48.72%. LCS2 telah diturunkan ke air dan sedang menjalani proses Setting to Work (STW), manakala LCS3 dirancang diturunkan ke air pada Januari 2026,” ujarnya lagi.
Ujarnya, pembinaan Littoral Mission Ship Batch Kedua (LMS Batch 2) turut menunjukkan perkembangan positif dengan kemajuan keseluruhan mencapai 13.8% menjelang Jun 2025.
Selain itu, LMSB2-1, LMSB2-2 dan LMSB2-3 masing-masing disasarkan mencapai 17.1%, 13.9% dan 10.4% kemajuan.
Sementara itu, dalam sektor udara, Khaled berkata, pembinaan pesawat FLIT-LCA KAI FA-50 Block 20 telah mencapai 48% kemajuan dengan 2 unit pertama dijangka diterima pada Oktober 2026.
“Kementerian juga sedang berusaha mendapatkan Pesawat Ronda Maritim (MPA) untuk mengukuhkan pengawasan kawasan maritim negara, dengan aset pertama dijangka diterima pada Jun dan September 2026,
“Selain menerus dan melakukan pelbagai perolehan penting bagi melengkap dan memodenkan ketumbukan pertahanan kita, Kementerian akan turut memberi perhatian kepada usaha memenuhi keperluan aset dan keupayaan untuk berhadapan dengan ancaman bukan tradisional,” ujar Menteri Pertahanan lagi.-airtimes.my
#pertahanan #Malaysia #ATM #Mindef #perutusan2025 #airtimes