Home Semasa Anwar: Kerajaan madani kekal komited perjuang agenda reformasi

Anwar: Kerajaan madani kekal komited perjuang agenda reformasi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Kerajaan akan terus berpegang teguh kepada perjuangan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat, bersatu dan memartabatkan hak rakyat tanpa meminggirkan identiti asas negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, prinsip seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, serta hak Melayu dan Bumiputera terus dihormati sepanjang 2 tahun pentadbiran beliau.

“Justeru di hadapan teman-teman seperjuangan, saya menyatakan dengan tegas bahawa saya dan Kerajaan MADANI tidak pernah meninggalkan perjuangan dan agenda reformasi yang telah kita dukung bersama selama ini,

“Reformasi ini telah bermula dengan memperbetulkan tatakelola bagi melawan rasuah yang sistemik dan tadbir urus lemah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis pelancaran buku bertajuk “Lim Kit Siang: Malaysian First” Volum 1 dan 2 di Ipoh, malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, terdapat beberapa desakan supaya kerajaan segera melakukan reformasi seperti yang dijanjikan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengalaman lalu mengajarnya untuk lebih pintar dan cermat dalam membawa perubahan tanpa mengorbankan kestabilan negara.

“Namun ada juga suara memualkan daripada segelintir yang kononnya mendakwa Kerajaan ‘gagal’ melaksanakan agenda reformasi dalam tempoh dua tahun ini, sedangkan mereka jugalah yang sebelum ini sanggup mencium kaki penyakau dan perasuah,

“Kerajaan Madani perlu terus kukuh, bersama dan kekal mentadbir untuk merealisasikan agenda reformasi ini, kerana kegagalan bererti negara ini akan kembali di bawah pemerintahan pelampau agama dan perkauman,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengucapkan penghargaan kepada tokoh veteran politik, Lim Kit Siang, atas sokongan dan nasihat yang diberikan demi menjayakan agenda reformasi untuk sebuah Malaysia yang lebih baik.-airtimes.my

#Anwar #airtimes #semasa #reformasi #Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?