KUALA LUMPUR, 20 Dis – Malaysia menyambut baik Resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi memohon pendapat nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Kementerian Luar Negeri memaklumkan, permohonan nasihat itu adalah berkaitan tanggungjawab Israel ke atas kehadiran dan kegiatan PBB, organisasi antarabangsa serta negara-negara ketiga di wilayah Palestin yang diduduki.
Menurut kementerian, resolusi ini telah dibentangkan oleh negara-negara sepemikiran termasuk Malaysia, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan sistem PBB.
“Resolusi ini di bawah agenda ‘Memperkukuhkan Sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”, merupakan tindakan balas terhadap keputusan rejim zionis Israel mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur,” jelas Kementerian Luar dalam kenyataan pada Jumaat.
Kementerian turut menegaskan, resolusi ini mencerminkan keazaman masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis kemanusiaan di wilayah Palestin yang diduduki dan memastikan keselamatan orang awam serta kakitangan PBB.
“Ia juga akan melindungi peranan penting PBB dalam usaha-usaha merealisasikan penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh kepada perjuangan Palestin,” jelas kenyataan itu lagi.
Tambahnya, Malaysia akan meneruskan usaha-usaha ke arah merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan keadilan untuk rakyat Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB termasuk melalui proses-proses perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.-airtimes.my
#semasa #Malaysia #Palestin #airtimes #PBB
