KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 35 pegawai dan 117 anggota dari pasukan di bawah naungan 10 Briged (Para) berjaya menamatkan Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) 𝘋𝘦𝘤𝘦𝘯𝘵𝘳𝘢𝘭𝘪𝘴𝘦𝘥 Siri 3/2024.
Buletin Briged PARA dalam hantaran di media sosialnya memaklumkan, kursus tersebut telah dilaksanakan selama 5 minggu sejak 16 November sehingga 18 Disember lalu.
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Panglima 10 Briged (Para), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal di DZ Semalu, Kem Terendak, Melaka.
Menurut 10 Bgd (Para), upacara penutup dilaksanakan dengan berkonsepkan kecergasan tempur untuk menguji ketahanan mental dan fizikal para penuntut.
Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah acara Tachtlon di Litar Para Endurance Circuit di Kem Terendak, Melaka.
Di kemuncak acara, Panglima 10 Bgd (Para) telah menyempurnakan acara pemakaian Beret Merun dan Sayap Berdarah serta menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada penuntut kursus.
Penuntut Jasmani Terbaik dirangkul oleh Leftenan Muda Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi dari pasukan Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (17 RAMD, Para).

Semasa majlis penutup Kursus Asas Pasukan Aturgerak Cepat (APAC) 𝘋𝘦𝘤𝘦𝘯𝘵𝘳𝘢𝘭𝘪𝘴𝘦𝘥 Siri 3/2024, turut diadakan acara Tachtlon di Litar Para Endurance Circuit, Kem Terendak, Melaka. Foto: 10 Bgd Para
Manakala Penuntut Ketabahan Terbaik telah dinobatkan kepada Prebet Muhammad Nur Faqis Hakimi Yatim dari 9 RAMD (Para).
Penuntut Keseluruhan Terbaik telah dinobatkan kepada Leftenan Muda Nur Farhan Azis dari pasukan 18 RAMD (Para).
Dalam ucapannya, Panglima 10 Bgd (Para) mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penuntut kursus di atas kegigihan, kekentalan dan kecekalan menamatkan kursus pada kali ini.
Beliau turut mengingatkan kepada penuntut dan seluruh warga 10 Bgd (Para) yang hadir supaya sentiasa menampilkan keterampilan 𝘗𝘢𝘳𝘢 𝘗𝘳𝘰𝘧𝘪𝘭𝘦 sebilang masa selain daripada sentiasa mempamerkan semangat juang yang tinggi (𝘵𝘰 𝘥𝘦𝘮𝘰𝘯𝘴𝘵𝘳𝘢𝘵𝘦 𝘵𝘩𝘦 𝘩𝘪𝘨𝘩𝘦𝘴𝘵 𝘧𝘪𝘨𝘩𝘵𝘪𝘯𝘨 𝘴𝘱𝘪𝘳𝘪𝘵) dalam apa jua aspek tugasan yang dilaksanakan terutama dalam peperangan.
Turut hadir Ketua Staf (KS) Am MK 10 Bgd (Para) Leftenan Kolonel Zulkifli Raub, pegawai Staf (PS) 1 Latih 10 Bgd (Para) Leftenan Kolonel Zain Azrai Karia, para pegawai dan anggota 10 Bgd (Para).-airtimes.my
#PARA #TDM #airtimes #pertahanan