PUTRAJAYA, 20 DIS – Kerajaan secara rasmi telah meterai perjanjian perolehan helikopter secara penswastaan melalui kaedah pajakan aset.
Perolehan helikopter secara penswastaan tersebut dilaksanakan dengan syarikat Westar.
Majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Awam-Swasta Bagi Pajakan Helikopter Untuk Kegunaan Kementerian dan Agensi Kerajaan telah pun berlangsung di Putrajaya, pada Khamis.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu perkongsian di akaun media sosial rasminya menyatakan “perjanjian ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan keupayaan operasi agensi berkaitan, terutama dalam melaksanakan tugas-tugas kritikal yang memerlukan sokongan logistik udara”.
“Perjanjian ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuhkan keupayaan operasi agensi berkaitan, terutama dalam melaksanakan tugas-tugas kritikal yang memerlukan sokongan logistik udara,
“Pendekatan penswastaan melalui pajakan aset ini adalah langkah strategik yang bukan sahaja meningkatkan keberkesanan perolehan tetapi juga memastikan penggunaan sumber secara lebih cekap dan optimum,
“Ia merupakan kaedah inovatif yang mampu menjimatkan kos jangka panjang tanpa menjejaskan kualiti atau fungsi aset yang diperoleh,” katanya.
Perolehan secara pajakan melibatkan 28 buah helikopter termasuk 2 buah untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 12 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan pendirian kerajaan bahawa perolehan 28 helikopter bernilai RM16.546 bilion itu adalah wajar.
“Perolehan ini melibatkan kontrak bernilai RM16.546 bilion ringgit untuk tempoh sewaan selama 18 tahun,
“Ia melibatkan 28 unit helikopter dan akan memberi manfaat bukan saja kepada ATM tetapi juga agensi-agensi keselamatan negara yang lain,” kata Menteri Pertahanan semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat pada November lalu.
Selain itu, kerajaan turut diberikan pilihan untuk membeli kesemua 28 aset tersebut pada harga nominal sebanyak RM1 seunit helikopter.
Sementara itu, TUDM dalam satu perkongsian di akaun media sosial rasminya menyatakan perjanjian ini menandakan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuh keupayaan operasi dan logistik udara agensi-agensi terlibat termasuk TUDM.
“Pendekatan penswastaan melalui mekanisme pajakan ini dilihat sebagai langkah strategik yang bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan perolehan, malah memastikan pengurusan sumber dilakukan dengan lebih cekap dan berkesan,
“Kaedah ini juga dianggap inovatif kerana berpotensi untuk menjimatkan kos jangka panjang tanpa menjejaskan kualiti mahupun fungsi aset yang diperoleh,” kata TUDM dalam satu hantaran. – airtimes.my
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan