Home SemasaPajakan 28 helikopter bukan sekadar sewa, kerajaan ditawar untuk beli pada harga RM1

Pajakan 28 helikopter bukan sekadar sewa, kerajaan ditawar untuk beli pada harga RM1

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Perolehan 28 buah helikopter kepada kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar sewaan semata-mata.

Malah, perolehan secara pajakan ini turut memberikan pilihan kepada kerajaan untuk membeli kesemua 28 aset tersebut pada harga nominal RM 1 seunit helikopter.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kerajaan berpandangan bahawa kos kontrak bernilai RM16.546 bilion tersebut adalah wajar.

“Ia merangkumi pembekalan helikopter, perlindungan insurans, perkhidmatan Maintenance, Repair, and Overhaul (MRO) termasuk dengan alat-alat gantian dan simpanan, kursus dan latihan serta penyelenggaraan luar pangkalan (base),

“Melalui kaedah ini, isu utama yang akan diatasi adalah masalah ketersediaan dan kesiagaan pesawat-pesawat helikopter sedia ada,” katanya semasa semasa sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, perolehan secara pajakan aset ini merupakan kali pertama umpamanya dibuat dan dilaksanakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM).

“Perolehan ini melibatkan kontrak bernilai RM16.546 bilion ringgit untuk tempoh sewaan selama 18 tahun,

“Ia melibatkan 28 unit helikopter dan akan memberi manfaat bukan saja kepada ATM tetapi juga agensi-agensi keselamatan negara yang lain,” katanya.

Beliau menambah, tujuan utama adalah untuk memenuhi keperluan agensi pengguna menjalankan operasi udara harian dan misi-misi tertentu selain daripada peperangan.

Khaled Nordin memperincikan 2 buah helikopter yang diperoleh akan digunakan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 12 lagi untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

7 unit helikopter akan dibekalkan kepada PDRM, 4 Maritim Malaysia, 2 untuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta sebuah lagi untuk JPM.

Beliau menegaskan, melalui konsep pajakan ini, pihak syarikat perlu memastikan tahap ketersediaan dan kesiapsiagaan helikopter yang dibekalkan adalah pada tahap minimum 85% dan agensi-agensi mendapat jaminan jam penerbangan mengikut keperluan masing-masing.

“Apabila ia melalui konsep pajakan ini, ia bermakna pihak end user seperti ATM dan perkhidmatan didalamnya tak perlu untuk memberi kontrak MRO atau pun membeli alat ganti (sparepart) dan sebagainya (kerana) semua dikendalikan oleh syarikat yang melakukan pajakan ini,

“Pajakan ini adalah pajakan to own (memiliki),” tegasnya.

Jelasnya, selepas 15 tahun kontrak sewaan, kerajaan diberi pilihan untuk membeli kesemua 28 unit aset tersebut pada harga nominal RM1 seunit.

Khaled Nordin menambah, harga setiap helikopter adalah antara RM 30 juta hingga RM50 juta. – airtimes.my

#Pertahanan #Helikopter

Related Articles

Leave a Reply