KUALA LUMPUR, 14 Nov – Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentara Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) terus memperkukuh persefahaman dan keupayaan taktikal antara kedua-dua buah negara dalam Eksesais KEKAR MALINDO Siri 47AB/2024.
Markas Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Bgd) memaklumkan, eksesais yang berlangsung dari 2 hingga 11 November lalu ini melibatkan penyertaan 3 Bgd melalui Batalion Ke-13 Rejimen Askar Melayu Diraja (13 RAMD) bagi pihak TDM, manakala TNI-AD diwakili oleh Batalion Infantri 645/Gty.
Upacara penutupan telah diadakan pada 11 November di Lapangan Equator, Markas Komando Brigif 19/Khatulistiwa.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, bersama Panglima Komander Daerah Militer XII/Tanjung Pura, Mayor Jeneral TNI H. Iwan Setiawan.
Menurutnya, eksesais ini telah berjaya mencapai matlamat untuk menguji fungsi pemerintah dan pegawai di peringkat pasukan dalam operasi bersama.
“Latihan ini juga dapat meningkatkan persefahaman, kerjasama dan keupayaan kedua-dua pihak di dalam melaksanakan latihan bersama,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Sauffi Omar, Danbrigif 19/Khatulistiwa, Kolonel Infantri Arief Wicaksana, S.H., M. Han, Walikota Singkawang, Drs. H. Sumastro, dan Ketua Kapolres Singkawang, ABKP Fatchur Rochman.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #TDM #TNIAD #latihan #Malaysia #Indonesia
