Home Pertahanan dan Keselamatan Pelarasan pencen: Tuduhan kerajaan menipu tidak berasas, berniat jahat – JHEV ATM

Pelarasan pencen: Tuduhan kerajaan menipu tidak berasas, berniat jahat – JHEV ATM

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menafikan dakwaan bahawa kerajaan telah menipu dalam urusan penyelarasan pencen Veteran ATM.

Kenyataan yang tular melalui aplikasi WhatsApp dan didakwa melibatkan Ahli Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral Datuk Khlir (B), disifatkan sebagai tidak berasas dan berniat jahat.

JHEV ATM menyifatkan tuduhan bahawa kerajaan menipu dalam isu pelarasan pencen sebagai tidak benar sama sekali. Tuduhan ini juga dilihat bertujuan mencemar nama baik kerajaan dan hubungan dengan komuniti veteran.

“Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan JHEV ATM sentiasa terbuka untuk perbincangan demi kesejahteraan veteran,

“Kami juga mengalu-alukan sebarang kerjasama atau maklumat yang boleh memberi manfaat kepada komuniti veteran secara keseluruhan,” jelas JHEV ATM dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut JHEV ATM, kerajaan sentiasa menghormati peranan Majlis Angkatan Tentera (MAT) dalam hal pencen, ganjaran, dan faedah lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Angkatan Tentera 1972, serta Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap 1982.

Malah, kerajaan tidak menyekat hak veteran untuk membawa saman pemula berkaitan pelarasan pencen, yang kini masih dalam proses Mahkamah Rayuan dan dijangka diputuskan pada 21 Januari 2025.

Dalam masa yang sama, JHEV ATM turut menghargai keprihatinan Ahli Parlimen Ketereh terhadap kebajikan veteran.

“Beliau telah banyak mengemukakan soalan dan cadangan berkaitan isu pelarasan pencen di Parlimen,

“Pada 7 November 2024, semasa Sesi Penggulungan Perbahasan Belanjawan 2025, beliau berpuas hati dengan penjelasan Menteri Pertahanan dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan Veteran ATM,” ujar kenyataan itu.

Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Disember 2024, yang memberi manfaat kepada kira-kira 142,000 Veteran ATM dengan kenaikan kadar 8% berdasarkan gaji akhir pada 2012, turut dijelaskan sebagai usaha kerajaan dalam menjaga kebajikan veteran.

Namun, JHEV menegaskan bahawa SSPA dan pelarasan pencen yang sedang dibicarakan di mahkamah adalah isu berasingan.-airtimes.my

#pertahanan #veteran #JHEVATM #airtimes #Malaysia

Leave a Reply