KUALA LUMPUR, 13 DIS – Kementerian Pertahanan akan mula melaksanakan pengambilan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang dijangka pada awal bulan Januari 2025.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Kementerian tersebut akan mula melaksanakan pengambilan pelatih dari kalangan remaja yang telah selesai menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dan remaja yang berusia 17 tahun ke atas mulai tahun 2025.
Menurutnya lagi, pada masa ini Kementerian tersebut sedang membuat persediaan yang rapi untuk melaksanakan Latihan Percubaan dan Projek Perintis bagi PLKN 3.0 di Kem-Kem Askar Wataniah.
“Antara persiapan yang sedang giat dilaksanakan termasuk menubuhkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), proses melantik Pengerusi dan Ahli Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN),
proses perolehan keperluan logistik, senggaraan kem, pembangunan sistem maklumat serta peralatan latihan.” katanya melalui jawapan bertulis Dewan Rakyat, yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menambah lagi, pada masa yang sama, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi sedang memuktamadkan modul latihan yang akan diaplikasikan di peringkat Pra PLKN dan Latihan Asas PLKN.
Terdahulu, kerajaan melalui Kementerian Pertahanan akan melaksanakan semula PLKN 3.0 dengan konsep dan format baharu untuk semua remaja warga negara Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas.
Pelaksanaan semula program ini akan menjadi wadah pembentukan satu generasi baharu yang menitikberatkan semangat patriotisme (cinta negara), mengamalkan nilai-nilai murni, sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menanamkan semangat kesukarelawanan ke dalam jati diri mereka.-airtimes.my
#airtimes #PLKN #pengambilan #2025 #Khaled #MINDEF