Home Semasa 281 lorong tikus berjaya dikesan, polis guna teknologi AI pantau sempadan negara

281 lorong tikus berjaya dikesan, polis guna teknologi AI pantau sempadan negara

by Suraya Aziz

KUALA LUMPUR, 10 DISEMBER 2024 – Penggunaan Teknologi Kecerdasan Buatan  (Artificial Intelligence, AI) kini menjadi tulang belakang kepada usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam memperkukuh kawalan di sempadan negara. 

Penggunaan AI dilihat sebagai langkah proaktif untuk menangani jenayah rentas sempadan yang semakin mencabar, termasuk penyeludupan melalui lorong tikus dan laluan haram.  

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, sebanyak 281 lorong tikus telah dikenal pasti di seluruh negara, dengan kawasan sempadan Kelantan-Thailand mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 128 lorong.

Manakala negeri lain yang turut terkesan ialah Sabah sebanyak 50 lorong tikus, diikuti Sarawak (38); Johor (27); Kedah (18); Selangor (12) dan Perlis (8).

“Sebanyak 281 lokasi lorong tikus telah dikenalpasti di dalam kawasan tanggungjawab Pasukan Gerakan Am (PGA) yang digunakan bagi aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Persempadanan Malaysia (Kelantan) dan Thailand (Naratiwat) mencatatkan jumlah yang tertinggi iaitu sebanyak 128 lorong tikus,” ujar beliau semasa sesi soal jawab di Dewan Negara pada Selasa. 

Tiger Platoon merupakan unit khas di bawah Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM). (Foto: PDRM)

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan, selain operasi kawalan di kawasan sempadan yang melibatkan rondaan dan pengawasan 24 jam, PGA turut memusnahkan jeti haram serta menjalankan risikan terperinci di kawasan berisiko.  

Rondaan Bersama melalui program Combined Force Border Patrol (CFBP) serta kerjasama dengan Kerajaan Negeri juga telah diambil untuk membendung jenayah rentas sempadan.

Langkah ini diharap dapat mengekang aktiviti penyeludupan dadah, manusia, dan barang larangan lain yang sering menggunakan laluan tidak sah.  

Ujarnya, PDRM melalui PGA sentiasa komited untuk menambah baik pelan tindakan sejajar dengan perubahan senario semasa bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dibendung dengan lebih berkesan.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Tuan Musoddak Ahmad, yang meminta penjelasan mengenai pelan tindakan menyeluruh untuk menangani jenayah rentas sempadan, termasuk ancaman melalui laluan terowong bawah tanah dan lorong tikus. -airtimes.my

#PertahananDanKeselamatan #Jenayahrentassempadan #Malaysia #PDRM #PGA

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!