Home Diskusi Peristiwa darurat yang pernah berlaku di Malaysia

Peristiwa darurat yang pernah berlaku di Malaysia

by Muhammad Izzat

Pengisytiharan darurat di Korea Selatan baru-baru ini membawa ingatan kepada episod-episod darurat yang pernah melanda Malaysia. Sejak merdeka, negara ini telah melalui pelbagai darurat yang membawa impak besar terhadap kestabilan politik, keselamatan, dan pembangunan sosioekonomi.

Darurat pertama di Tanah Melayu berlaku pada tahun 1948 hingga 1960, ketika negara menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya (PKM). Serangan gerila oleh PKM terhadap kepentingan kolonial British memaksa kerajaan menguatkuasakan undang-undang darurat bagi mematahkan pemberontakan komunis. Pengisytiharan ini membawa kepada operasi keselamatan yang intensif, termasuk sekatan makanan dan gerakan ketenteraan di kawasan luar bandar.

Pada tahun 1964, Malaysia menghadapi Darurat Konfrontasi akibat tentangan Indonesia terhadap pembentukan Malaysia. Tentera Indonesia melancarkan serangan bersenjata ke wilayah Sabah dan Sarawak, namun konflik ini berakhir selepas Presiden Sukarno digantikan oleh Suharto, yang lebih cenderung kepada diplomasi.

Malaysia juga menghadapi Darurat Sarawak pada tahun 1966 susulan daripada krisis politik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dengan Ketua Menteri Sarawak yang pertama iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan

Selepas itu, pada tahun 1969, Malaysia sekali lagi menyaksikan darurat selepas rusuhan kaum yang tercetus pada 13 Mei. Konflik ini menjadi titik hitam dalam sejarah negara, dengan ratusan nyawa terkorban dan kerosakan harta benda yang meluas. Pengisytiharan darurat ini membolehkan kerajaan mengambil langkah segera untuk memulihkan keamanan. Ia turut membawa kepada pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang bertujuan menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Pada tahun 1977, darurat di Kelantan diisytiharkan susulan konflik politik antara kerajaan negeri dan Persekutuan. Ketegangan ini melibatkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang memerintah Kelantan ketika itu, di mana langkah darurat diambil untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Selain itu, darurat turut diisytiharkan beberapa kali akibat jerebu, seperti pada 1997, 2005, dan 2013, apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatat bacaan sangat berbahaya. Darurat Jerebu memberi kesan besar kepada kesihatan awam dan ekonomi, serta menonjolkan keperluan kerjasama serantau untuk menangani pencemaran rentas sempadan.

Pada tahun 2020, Malaysia berdepan Darurat Parlimen Batu Sapi, Parlimen Gerik, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya. Darurat ini diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menangguhkan pilihan raya kecil susulan kematian penyandang kerusi masing-masing, di tengah-tengah lonjakan kes COVID-19. Pengisytiharan ini bertujuan mengelakkan penularan pandemik akibat perhimpunan awam semasa pilihan raya, seperti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020.

Seterusnya, pada 2021, Malaysia berdepan situasi darurat sekali lagi, ketika pandemik COVID-19 melanda dunia. Pengisytiharan darurat ini dibuat bagi menangani penularan virus yang semakin kritikal dan memastikan kelangsungan sistem kesihatan negara. Langkah tersebut termasuklah menggantung persidangan Parlimen dan memberi kuasa khas kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan awam.

Kesemua episod darurat ini memberikan pengajaran penting kepada Malaysia. Ia menunjukkan bahawa pengisytiharan darurat sering menjadi langkah terakhir dalam memastikan keselamatan negara. Namun, ia juga mencerminkan keperluan perpaduan rakyat dan kecekapan kepimpinan dalam menghadapi situasi genting.

Sejarah ini mengingatkan rakyat Malaysia bahawa kestabilan negara tidak boleh diambil mudah. Cabaran mungkin berbeza, tetapi semangat kebersamaan dan keazaman untuk melindungi tanah air harus kekal teguh. -airtimes.my

#airtimes #darurat #Malaysia #sejarah #kestabilan #korea

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!