Home Pertahanan dan Keselamatan LTAT salur bantuan RM782,800 bantu mangsa banjir di seluruh negara

LTAT salur bantuan RM782,800 bantu mangsa banjir di seluruh negara

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 DIS – Kumpulan Syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan inisiatif bantuan banjir secara menyeluruh bernilai RM782,800.00 bagi menyokong komuniti yang terjejas di seluruh Malaysia.

Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, LTAT kekal proaktif dalam usaha bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat negara ini yang terjejas.

Beliau berkata, kumpulan syarikat berkenaan telah menyediakan bantuan segera keperluan asas kepada mangsa yang terjejas melalui sinergi bersama Kementerian Pertahanan (MINDEF), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta pelbagai organisasi bukan kerajaan (NGO).

“Dalam menghadapi cabaran berterusan banjir di hujung tahun, LTAT kekal proaktif dalam usaha kami untuk bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas,

“Fokus utama kami adalah memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran, yang memainkan peranan penting dalam respons bencana. Kami berharap usaha ini dapat memberikan kemudahan serta bantuan yang diperlukan semasa mereka menghadapi cabaran musim hujan,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohammad Ashraf berkata, pihaknya turut menyatakan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat banjir dan menyatakan sokongan penuh untuk membantu mereka membina semula kehidupan mereka.

“Kami turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan, serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka yang memerlukan,” ujarnya lagi.

Bantuan itu dilakukan dengan diterajui kerajaan dan kumpulan syarikat LTAT, termasuk Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad (BHB), Boustead Plantations (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp), dan Affin Group Berhad (AFFIN).

Mengulas lanjut, Mohamad Ashraf berkata, usaha sinergi itu menyerlahkan komitmen teguh LTAT dan kumpulan syarikat dalam menyokong komuniti yang terjejas akibat banjir dengan tema Demi Rakyat dan Negara bagi memastikan bantuan segera dan pemulihan jangka panjang dapat dilaksanakan.

Sehingga petang ini, jumlah keseluruhan penduduk terjejas banjir di 7 negeri terus mencatatkan penurunan kepada 60,413 orang berbanding 66,189 orang pagi tadi susulan situasi yang beransur pulih di dua negeri iaitu Melaka dan Pahang.-airtimes.my

#LTAT #mangsabanjir #bantuan #Mindef #ATM #airtimes

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!