KUALA LUMPUR, 4 Dis – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari pada Khamis memaklumkan bahawa status kemajuan keseluruhan projek Kapal Tempur Pesisir (Littoral Combat Ship, LCS) telah mencapai 70.1% setakat 25 Oktober tahun ini.
Beliau berkata, berdasarkan perancangan perbatuan yang terkandung dalam kontrak tersebut, fasa akhir pembinaan LCS pertama dijangka selesai menjelang penghujung tahun ini.
“Secara keseluruhan status kemajuan semasa bagi perolehan LCS yang berakhir pada 25 Oktober adalah sebanyak 70.10 peratus berbanding perancangan iaitu 70.69 peratus dengan perbezaan sebanyak 0.59 peratus daripada jadual yang dirancangkan,
“Selepas itu, kapal ini akan menjalani beberapa siri ujian seperti Ujian Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Trial (SAT) yang dijadualkan berlangsung selama 2 tahun,” jelasnya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) yang meminta penjelasan berkenaan jangkaan garis waktu kapal LCS 1 akan mula menjalani ujian pengoperasian dan jangkaan kapal LCS 2 akan turun ke permukaan air.
Sementara itu, LCS kedua pula, Adly berkata, ia dijangka turun ke permukaan air pada pertengahan tahun 2025 sebelum melalui proses ujian HAT dan SAT bagi memastikan kapal memenuhi keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Adly turut menegaskan bahawa Kementerian Pertahanan (MINDEF) sentiasa memantau dengan teliti kemajuan pembinaan kapal tersebut.
Ini termasuk menjalankan pemeriksaan tapak secara berkala, dan mengadakan pertemuan dengan kontraktor Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) secara bulanan, malah setiap minggu.-airtimes.my
#LCS #TLDM #kapal #kelewatan #airtimes #Lunas #Malaysia