Home Semasa Anwar hargai dedikasi pasukan keselamatan, agensi tangani banjir

Anwar hargai dedikasi pasukan keselamatan, agensi tangani banjir

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai usaha dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan keselamatan, petugas kesihatan, serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri dalam menangani krisis banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Beliau menyifatkan penat lelah dan pengorbanan mereka yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir, walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga, sebagai jasa yang amat besar dan tidak ternilai kepada rakyat serta negara.

“Saya hargai usaha dan semangat tinggi dipamerkan pasukan keselamatan, petugas kesihatan serta seluruh agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang bertungkus lumus membantu menguruskan kebajikan dan keperluan mangsa banjir ketika ini,

“Penat lelah sehingga terpaksa berjauhan serta meninggalkan keluarga mereka, akan dikenang sebagai satu pengorbanan besar yang tidak ternilai kepada rakyat dan negara,” katanya di laman Facebook malam tadi.

Beliau turut menyeru sektor swasta agar tampil bersama-sama menyemarakkan semangat kebersamaan dalam misi bantuan untuk meringankan beban rakyat yang terkesan.

“Kepada sektor swasta, ayuh kita harungi bersama dan semarakkan semangat kebersamaan untuk terlibat dalam misi bantuan membantu rakyat yang memerlukan serta dilanda kesusahan saat ini,” tambah beliau.

Perdana Menteri turut menyeru kerjasama semua pihak turun padang bersama-sama membantu meringankan beban ditanggung sehingga mereka yang terkesan ini dapat menjalani kehidupan seperti sediakala.

Krisis banjir yang berlaku ketika ini menyaksikan pelbagai usaha bersepadu digerakkan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir terus terbela.

Keprihatinan semua pihak, termasuk sektor awam dan swasta, dilihat mampu memberi impak besar dalam menangani cabaran ini.

Jumlah mangsa banjir di 8 negeri yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan penurunan pagi ini.

Setakat 6 pagi ini, seramai 94,619 mangsa daripada 28,385 keluarga masih berada di 406 PPS di seluruh negara.

Menurut laman web Public Info Banjir, Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 58,145 orang membabitkan 18,340 keluarga.

Mereka berlindung di 168 PPS yang beroperasi di lapan daerah di negeri itu.

Ini diikuti di Terengganu dengan 25,199 mangsa membabitkan 6,594 keluarga yang ditempatkan di 143 PPS di 8 daerah.

Kedah pula merekodkan 7,501 mangsa daripada 2,309 keluarga yng ditempatkan di 40 PPS membabitkan 5 daerah.

Di selatan tanah air, seramai 1,052 mangsa dicatatkan di Johor manakala di Perak, 640 mangsa, Melaka (161) dan Perlis (69).-airtimes.my

#banjir #Malaysia #Anwar #DSAI #airtimes

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!