KUALA LUMPUR, 3 Dis – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa dukacita terhadap kes penderaan sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Baginda bertitah, budaya tidak sihat ini mesti dihentikan segera, dan nama baik UPNM perlu dipulihkan demi menjaga kepercayaan masyarakat.
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras. Tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian,
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Baginda pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), hari ini.
Seri Paduka Baginda turut meluahkan rasa kecewa apabila insiden penderaan terus berlaku walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke muka pengadilan.
“Lebih mendukacitakan apabila kejadian penderaan terus berlaku, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak walaupun kejadian sebelumnya telah dibawa ke mahkamah,” titah baginda lagi.
Baginda menegaskan bahawa falsafah utama UPNM adalah untuk menjadi institusi terunggul dalam bidang pertahanan, ketenteraan, dan keselamatan, yang berteraskan disiplin dan budaya tentera.
“Jika penderaan terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan Komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah,” titah Seri Paduka Baginda.airtimes.my
Baginda bertitah menggesa tindakan segera dan tegas diambil bagi memulihkan imej UPNM serta menghentikan penderaan, memastikan ia benar-benar menjadi institusi yang membanggakan negara.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.” – Sultan Ibrahim
#penderaan #ALK #UPNM #airtimes #buli #DaulatTuanku