GERIK, 2 DIS – Operasi mencari dijalankan bagi mengesan anggota tentera yang dipercayai lemas selepas dihanyutkan arus ketika menyeberangi Sungai Merah di kawasan Hutan Royal Belum di sini.
Kejadian berlaku pada Jumaat lalu membabitkan dua anggota tentera yang sedang menjalani operasi.
Bagaimana pun, satu daripada dua mangsa berkenaan telah ditemui dan disahkan meninggal dunia akibat lemas.
Identiti anggota mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Lans Koperal Mohd. Afandi Jahwin, manakala yang masih hilang ialah Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan media memberitahu, polis menerima maklumat berhubung kejadian lemas tersebut pada pukul 8.56 pagi hari ini.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menyertai Operasi Kota Echo/Foxtrot di kawasan Hutan Simpan Royal Belum.
“Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berlaku pada Jumaat lalu sekitar pukul 6 petang ketika dua mangsa itu bersama tujuh anggota lain cuba menyeberangi Sungai Merah.
“Kedua-dua anggota itu bagaimana pun gagal menyeberangi sungai tersebut lalu dihanyutkan arus sungai yang deras,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Susulan itu, penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa telah dijalankan oleh pihak polis bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Operasi SAR berjaya menemui seorang anggota yang telah meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi masih belum ditemui.
Gerakan mencari diteruskan sehingga anggota kedua ditemui.-airtimes.my
#pertahanan #anggota #lemas #operasi #Grik #airtimes