Home Semasa RIMPAC 2024: Israel sertai latihan ketenteraan, NGO gesa Malaysia tarik diri

RIMPAC 2024: Israel sertai latihan ketenteraan, NGO gesa Malaysia tarik diri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 31 MEI – Kerajaan Malaysia digesa supaya menarik diri daripada menyertai latihan ketenteraan maritim antarabangsa Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 yang akan diadakan di sekitar Kepulauan Hawaii dari 26 Jun hingga 2 Ogos.

Gabungan badan bukan kerajaan (NGO) pro-Palestin dalam kenyataan berkata, tindakan itu sebagai bantahan penyertaan Israel dalam latihan ketenteraan berkenaan kerana tentera rejim Zionis dilihat secara terang-terangan tidak menghiraukan nyawa rakyat Palestin yang terkorban dalam serangannya di Gaza.

Gesaan itu dibuat sekumpulan NGO pro-Palestin, termasuk gerakan Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia, MAPIM, Muslim Care Malaysia dan 12 NGO lain.

“Mereka turut tidak mengendahkan undang-undang antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) agar menghentikan serangan di Rafah. Israel terbukti negara penyangak dan zalim,

“Dunia harus berhenti menganggapnya sebagai sebuah negara biasa yang mematuhi undang-undang jika mahu jenayah Israel di Gaza dan Tebing Barat dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Air Times melaporkan Kapal Diraja (KD) LEKIU sekali lagi mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bagi menyertai Eksesais RIMPAC 2024 yang akan dilaksanakan di Joint Base Pearl Harbor, Hawaii.

RIMPAC 2024 merupakan eksesais maritim terbesar dunia yang diadakan 2 tahun sekali di Hawaii dan Amerika Syarika dengan menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, 4 kapal selam dan 170 pesawat.

RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD LEKIU yang menyertainya buat kali pertama pada 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD LEKIR pada 2022.

Sehubungan itu, gabungan NGO pro-Palestin menggesa bahawa Malaysia perlu mengundurkan diri daripada menyertai latihan tersebut.

“Kami mengulangi gesaan kepada kerajaan Malaysia untuk segera menarik diri daripada latihan ketenteraan RIMPAC 2024 untuk menegaskan mesej (bantahan) itu,” jelas kenyataan itu lagi.-airtimes.my

#Malaysia #gaza #RIMPAC2024 #TLDM #airtimes

Related Articles

Leave a Reply