Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat EKSESAIS TIGER STRIKE 2024: Penduduk di Seberang Takir, Setiu tidak perlu panik

EKSESAIS TIGER STRIKE 2024: Penduduk di Seberang Takir, Setiu tidak perlu panik

by Nurulhuda

KUALA TERENGGANU, 31 MEI – Orang ramai di sekitar kawasan Seberang Takir, Kuala Nerus dan Setiu dinasihatkan untuk tidak panik apabila mendengar bunyi tembakan atau melihat sebarang pergerakan aktiviti ketenteraan sehingga 6 Jun ini.

Bahagian Perhubungan Awam Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, ia adalah latihan ketenteraan antara TDM bersama Angkatan Tentera Amerika Syarikat (USF), menerusi EKSESAIS TIGER STRIKE 2024 di kawasan tersebut.

Latihan ini melibatkan pasukan 10 Briged (10 Bgd) Para dan 15th Marine Expeditionary Unit, United States Marine Corps (15 MEU USMC) serta sokongan daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

“Latihan bersama ini adalah untuk meningkatkan kerjasama dan kecekapan angkatan tentera antara dua pihak,

“Selain itu, latihan ini juga akan mengukuhkan hubungan dua hala dan mempertingkatkan kompetensi serta profesionalisme kedua pasukan terlibat,” menurut kenyataan itu.

Tambah TDM, latihan akan melibatkan banyak pergerakan kenderaan dan aset tentera, bunyi letupan dan penerbangan pesawat tentera di sekitar kawasan latihan terlibat.

Sehubungan itu, TDM menasihati orang ramai terutama penduduk tempatan, untuk tidak memasuki kawasan latihan yang telah diletakkan papan tanda jelas bagi memastikan keselamatan diri.

“Selain itu mereka juga diminta memberi laluan kepada kenderaan tentera di jalan raya, bagi mengelak sebarang gangguan atau kemalangan,

“Penduduk diminta untuk tidak panik. Aktiviti ini sebahagian daripada latihan yang dirancang dan dikawal selia dengan ketat. Penduduk diminta memberi kerjasama dan mematuhi arahan diberi oleh pihak berkuasa tempatan atau tentera,” tambah TDM lagi.

Upacara Pembukaan Eksesais Tiger Strike 2024 telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima 10 Bgd (Para), Kolonel Mohd Azral Manan; Pegawai Memerintah 15th Marine Expeditionary Unit (MEU), Col Sean P. Dynan dan Commodore USS SOMERSET, Capt Michel C. Brandt di flight deck USS SOMERSET di Pelabuhan Kuantan, Pahang, pada Rabu. Foto: TDM

Terdahulu, upacara Pembukaan Eksesais Tiger Strike 2024 telah diadakan di flight deck USS SOMERSET di Pelabuhan Kuantan, Pahang pada 29 Mei 24.

Upacara ini disempurnakan oleh Timbalan Panglima 10 Bgd (Para), Kolonel Mohd Azral Manan, Pegawai Memerintah 15th Marine Expeditionary Unit (MEU), Col Sean P. Dynan dan Commodore USS SOMERSET, Capt Michel C. Brandt.

Sementara itu, pihak Amphibious Squadron 5 Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) memaklumkan, latihan bersama ini bertujuan untuk mempertingkatkan kemahiran tempur bersama dan keupayaan serangan amfibi.

Latihan ini berlangsung mulai 29 Mei 2024 hingga 6 Jun 2024 di Kuantan dan Kuala Terengganu. -airtimes.my

#TDM #Malaysia #USF #US #pertahanan #eksesais #Terengganu #airtimes

Related Articles

Leave a Reply